SARAWAK hari ini merekodkan satu lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kematian di negeri berkenaan meningkat kepada 88 orang atau 0.78% daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN).
Dalam satu kenyataan hari ini, jawatankuasa itu memaklumkan kes kematian terbaharu tersebut merupakan kes positif ke-10,250 melibatkan seorang lelaki warga Sarawak berumur 66 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kapit kerana mengalami kelesuan, demam dan batuk beberapa hari lepas.
“Ujian saringan rapid test kit antigen dan rT-PCR (real time polymerase chain reaction) Covid-19 yang dibuat di hospital itu pada 1 Mac adalah positif. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 6 Mac. Kes ini juga mempunyai ko-morbid anemia aplastic (tidak dapat menghasil sel darah baharu),” kata kenyataan itu.
Hari ini terdapat 252 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak, 234 kes tidak menunjukkan sebarang gejala dan 18 kes menunjukkan gejala, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu kepada 11,348.
Daerah yang melaporkan kes hari ini ialah Sibu (149), Bintulu (23), Miri (17), Subis (13), Kuching (tujuh), Mukah (tujuh), Betong (enam), Sarikei (enam), Sebauh (enam), Kanowit (lima), Kapit (lima), Julau (dua) Meradong (dua) manakala Belaga, Beluru, Samarahan dan Tatau masing-masing satu kes. – Bernama, 8 Mac, 2021.
Komen