4 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini


Ravin Palanisamy

Tiga daripada empat kluster yang dilaporkan hari ini melibatkan tempat kerja yang dikesan di Johor dan Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan mengenal pasti empat kluster Covid-19 baharu, dengan tiga berkaitan tempat kerja, dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada tiga kluster tempat kerja, dua dikesan di Johor dan satu di Kuala Lumpur.

Katanya, kluster keempat yang dikesan di Terengganu adalah daripada penularan komuniti.

Noor Hisham berkata 60 kes dikesan dalam kluster yang dilaporkan hari ini, dengan tiga kluster tempat kerja mencatatkan 37 kes.

Beliau berkata kluster komuniti di Terengganu yang digelar Bukit Bayas melaporkan kes paling banyak di antara semua kluster lain yang dilaporkan dengan 23 orang didapati positif setakat ini.

Walaupun dikesan di Terengganu, katanya kluster ini tersebar di daerah Johor Bahru di Johor dan Petaling di Selangor.

Noor Hisham berkata dua kluster tempat kerja yang dilaporkan di Johor melibatkan sebuah kilang dan kedua-duanya dikesan di daerah Kulai.

Katanya, kluster Cyber ​​72 melaporkan 18 kes, sementara i-Park Tiga merekodkan lapan kes positif.

Katanya, kluster Jalan Loke Yew yang dikesan di Cheras, Kuala Lumpur adalah kluster tempat kerja terkini yang dilaporkan hari ini.

Noor Hisham berkata kluster yang melibatkan pasar raya ini melaporkan 11 kes.

Beliau berkata sebanyak 1,203 kluster dilaporkan di negara setakat ini, termasuk empat terbaharu dikesan hari ini.

Daripada jumlah itu,  467 kluster aktif, dengan 62 daripadanya masih melaporkan kes baharu setiap hari.

Katanya, kluster yang melaporkan jumlah kes paling banyak hari ini adalah Industri Sungai Gadut dengan 51 kes, diikuti Industri Subang (36 kes) dan Kebun Baru (22 kes).

Selain itu, Noor Hisham berkata 736 kluster tamat termasuk sembilan hari ini. – 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen