Lebih 200 aduan mengenai vaksin Covid-19, kata Khairy


Lebihan dos vaksin yang tidak digunakan diagihkan ke kawasan yang masih belum selesai pemberian vaksin Covid-19, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

LEBIH daripada 200 laporan diterima dari pemberi maklumat mengenai pemberian vaksin Covid-19 setakat Jumaat lalu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Kami sudah periksa setiap laporan. Ada yang tidak mempunyai bukti dan ada yang mempunyai bukti. Semuanya telah diselesaikan yang berkaitan dengan senarai utama dalam fasa satu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Menurut Khairy, beberapa isu berkaitan senarai utama barisan hadapan perlu dipinda seperti memasukkan pegawai perubatan dari jabatan kecemasan.

Pada 4 Mac lalu, Khairy menerima aduan mengenai sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) yang selesai memberi suntikan vaksin telah menyenaraikan mereka yang bukan dalam kalangan individu keutamaan dalam fasa pertama.

“Susulan aduan berkenaan, kita batalkan semua temujanji terhadap pihak yang tidak tersenarai dalam fasa pertama itu.”

Tambah beliau, lebihan dos vaksin yang tidak digunakan diagihkan ke kawasan yang masih belum selesai pemberian vaksin Covid-19.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata semua aduan pemberi maklumat  membolehkan kerajaan mengambil tindakan pantas. – 8 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen