PENGAMAL perubatan am swasta akan dilibatkan dalam program pemberian vaksinasi pada fasa kedua dan ketiga, kata Dr Adham Baba.
Menteri kesihatan berkata kerajaan memutuskan untuk melibatkan kumpulan itu bagi memperluaskan capaian vaksinasi kepada masyarakat.
Kementerian Kesihatan melantik Protect Health Corp Sdn Bhd (ProtectHealth) untuk membantu dalam program ini.
“Pengamal perubatan am swasta yang berminat membantu dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan perlu mendaftar dengan ProtectHealth mulai hari ini,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini.
Mereka yang berminat menjadi sebahagian daripada program boleh menghantar permohonan melalui laman web ProtectHealth, protecthealth.com.my.
ProtectHealth adalah anak syarikat ProtectHealth Malaysia yang merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.
Syarikat akan menguruskan pendaftaran, membimbing dan melatih doktor swasta, pembayaran dan memantau kemajuan program.
Fasa kedua pemacu program imunisasi dijadualkan berlangsung antara April dan Ogos sementara fasa ketiga yang akan bermula pada Mei akan berakhir pada Februari 2022. – 8 Mac, 2021.
Komen