PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencapai tahap memuaskan dan akan dipercepatkan pada fasa kedua dan ketiga, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
“Buat masa ini berada pada tahap memuaskan. Sebaik saja kita masuk ke fasa tiga, kita akan sasar 100,000 ke 120,000 suntikan sehari,” katanya pada sidang media hari ini, menjawab pertanyaan pemberita sama ada program imunisasi bergerak perlahan.
“Kita akan tambah (pemberian suntikan) sebaik sahaja lebih banyak vaksin sampai dan masuk ke fasa dua dan tiga.”
Hampir 140,000 orang telah diberi suntikan vaksin Covid-19 sejak program dilancarkan pada 24 Februari.
Setakat ini Malaysia telah menerima 520,650 dos vaksin.
Khairy berkata kerajaan sedang berusaha memberikan dos pertama vaksin kepada semua 571,802 penerima fasa pertama pada akhir bulan ini.
Pengkritik sebelum ini mempersoalkan adakah kerajaan dapat mencapai sasarannya untuk menyuntik sehingga 150,000 orang sehari dalam fasa ketiga program yang akan melibatkan orang ramai.
Sementara itu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang juga dalam sidang media itu berkata tidak ada kesan sampinga yang serius dilaporkan dalam kalangan mereka yang menerima suntikan pertama vaksin berkenaan.
“Tidak ada kes yang serius,” katanya sambil menambah bahawa kesakitan di tempat suntikan adalah antara kesan sampingan yang dikenal pasti.
Sementara itu Khairy berkata undang-undang kuarantin masih dikenakan terhadap pelancong yang masih belum menerima suntikan vaksin kedua mereka walaupun sudah menerima suntikan yang pertama. – 8 Mac, 2021.
Komen