Pakatan sedang runding agihan kerusi, kata Anwar


Noel Achariam

PH berbincang mengenai agihan kerusi dalam gabungan terlebih dahulu sebelum menimbang penyertaan parti-parti lain, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mac, 2021.

KEPUTUSAN mengenai pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibuat secara berperingkat, kata pengerusinya Anwar Ibrahim.

PH telah memulakan rundingan kerusi termasuk kerjasama jentera pilihan raya, tambahnya.

“PH bincang mengenai agihan kerusi dalam gabungan dulu. Kemudian, kita akan pertimbang penyertaan parti-parti lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Hari Wanita Sedunia di ibu pejabat PKR hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata perbicangan mengenai agihan kerusi masih berjalan.

“Saya jangka jawatankuasa akan serah senarai kepada Majlis Presiden PH dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin telah memberi jaminan pilihan raya akan diadakan apabila negara pulih sepenuhnya dari wabak Covid-19.

Darurat berkuatkuasa sehingga 1 Ogos atau ditamatkan lebih awal iaitu jika angka kes positif Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. 

Di bawah Ordinan Darurat tiada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil boleh diadakan.

Mengenai jumlah peruntukan kerusi, Fahmi berkata, “Saya belum ada jumlahnya. Tentang Warisan dan Pejuang, kami fokus kepada PH dulu.”

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil di ibu pejabat PKR hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mac, 2021.

Anwar dalam pada itu berkata kerjasama dengan parti lain dalam PRU15 masih belum dibincangkan.

“Yang jelas, kita tidak akan terbabit dengan mana-mana parti yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa,” kata presiden PKR itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Pejuang atau Umno.

Beliau juga menegaskan Perikatan Nasional masih tidak mempunyai majoriti walaupun dua ahli Parlimen PKR keluar parti baru-baru ini.

“Walaupun Parlimen digantung, saya sudah katakan secara terbuka (kita ada) 115 daripada 220.

“Kerajaan sudah hilang majoriti, tidak absah.”

Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Steven Chong (Tebrau) umum keluar PKR dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail mendakwa beliau cuba disogok untuk menyokong Muhyiddin.

Natrah dalam satu kenyataan berkata beliau dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar “Datuk Seri” dan dijanjikan manfaat sekiranya bersetuju, tambah ahli Parlimen PKR itu.

“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka. 

“Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan Reformasi dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang ahli Parlimen.” – 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen