Bangun Hutan Simpan Kuala Langat Utara untungkan tauke besar, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan Selangor tidak boleh nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara kerana ia mempunyai mempunyai keunikan biodiversiti, kata aktivis alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

KERAJAAN Selangor akan berdepan masalah jika meneruskan cadangan menyahwarta dan membangunkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata aktivis alam sekitar.

Presiden pertubuhan alam sekitar Ecoknights, Amlir Ayat memberitahu The Malaysian Insight, kawasan hutan paya gambut dan tidak sesuai untuk dibangunkan kerana terlalu lembut untuk menampung berat.

“Isu ini masih berjalan. Kerajaan negeri mahu menyahwarta hutan simpan berkenaan supaya ia boleh dibangunkan. Ini hanya akan menguntungkan ‘tauke-tauke besar’.

“Kerajaan negeri tidak boleh nyah warta kawasan tersebut kerana ia mempunyai mempunyai keunikan biodiversiti.

“Satu lagi sebab penting ialah kawasan yang dicadangkan itu tidak sesuai untuk aktiviti pembangunan. Tanah gambut terlalu lembut, tak mampu menampung cerucuk dan konkrit,” kata Amlir.

Ketika ini lebih 40 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terbakar akibat cuaca panas kering.

Menurut seorang ketua kampung yang ditemui The Malaysian Insight, kebakaran di HSKLU memang biasa berlaku setiap tahun terutamanya semasa musim kering dan panas.

“Kalau tidak silap saya sejak 1996 sudah banyak kali hutan sini terbakar dan jejaskan kehidupan Orang Asli,” kata Tok Batin Raman.

Baru-baru ini, sebuah gabungan mewakili 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyelar kepada kerajaan Selangor yang memberi alasan kebakaran hutan untuk menyahwarta HSKLU.

Gabungan itu juga membantah rancangan kerajaan negeri untuk meneroka dan membangunkan 931 hektar hutan tanah gambut yang bersempadan dengan Cyberjaya, Putrajaya, Putra Heights dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada “pembangunan campuran”.

Cadangan menyahwarta HSKLU diumumkan kerajaan negeri pada 5 Februari tahun lalu. 

“Kami kami sekali lagi mendesak kerajaan negeri Selangor menarik semula cadangan menyahwarta HSKLU, dan kami juga membantah kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari bahawa 40% kawasan hutan simpan berkenaan sudah menjadi hutan rosot disebabkan kebakaran.

“Kebakaran di mana-mana hutan simpan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyahwarta, melainkan untuk lebih banyak sistem perlindungan kebakaran. Ini bagi memastikan hutan kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” kata Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Amlir sementara itu berkata masyarakat Orang Asli di HSKLU sudah pasti akan terjejas sekiranya cadangan penyahwartaan diteruskan.

“Ke mana mereka hendak pergi? Mereka juga manusia, harus dihormati dan oleh itu kerajaan juga mesti menghormati Orang Asli.

“Saya pernah melawat ke kampung Orang Asli, dan saya lihat kampung mereka sangat bersih, teratur,” jelasnya.

Kebakaran hutan memang lazim berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat Utara terutamanya semasa musim kering dan panas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

Anak Orang Asli sakit

Tok Batin Raman berkata ramai anak Orang Asli di HSKLU jatuh sakit akibat kebakaran hutan berkenaan.

“Anak-anak kami sakit kerana asap tebal walaupun bomba dapat padamkan api.

“Kami tak tahu dari mana punca kebakaran. Sama ada perbuatan sengaja atau cuaca panas, tetapi anak-anak kami memang terkesan.

“Ada keluarga yang hilang punca pendapatan. Keluarga di sini banyak yang bergantung pada kraftangan sebagai pendapatan utama,” katanya.

Beliau turut kesal Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kerana tidak membantu semasa kebakaran hutan.

“Mereka sepatutnya lebih prihatin dan hulur bantuan semasa kami susah. Kerajaan negeri tak pedulikan kami, pihak jabatan Orang Asli pun sama.”

Menurut Tok Batin Raman lagi, kira-kira 182 Orang Asli tinggal di HSKLU.

“Seramai 102 orang tinggal di Kampung Pulau Kempas, 80 lagi di Bukit Cedding.

“Satu lagi kampung di Busut Baru. Mereka asalnya jauh dari sini, dari hutan dekat KLIA. Selepas lapangan terbang dibina, mereka datang ke sini,” jelasnya.

Cadangan menyahwarta HSKLU akan menyebabkan hampir 2,000 Orang Asli Temuan hilang tempat tinggal dari tanah adat mereka jika ia diteruskan.

Malaysia menyokong Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP), yang menyatakan bahawa masyarakat peribumi tidak boleh dipindah secara paksa daripada tanah atau wilayah mereka.

Lebih 45,000 surat bantahan terhadap cadangan penyahwartaan HSKLU telah dikemukakan sehingga kini.

HSKLU juga merupakan habitat kepada spesis fauna terancam seperti Beruang Matahari, Tupai Terbang, Ikan Laga Merah Langat serta beberapa spesis tumbuhan terancam seperti Meranti Bunga, Meranti Bakau dan Mersawa Paya. – 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen