Adakah jenama vaksin Covid-19 penting?


Ragananthini Vethasalam

KKM beri jaminan mendapatkan vaksin berkualiti tinggi, selamat dan berkesan yang diluluskan untuk digunakan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

HANYA vaksin berkualiti tinggi, selamat dan berkesan yang diluluskan untuk digunakan di Malaysia, itu jaminan yang diberikan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bagi menghilangkan keraguan terhadap jenama vaksin tertentu.

Persoalan diutarakan mengenai sama ada jenama tertentu berfungsi lebih baik daripada yang lain, dengan beberapa orang cenderung untuk memilih Pfizer-BioNTech dan Sputnik V sementara ada yang ragu-ragu terhadap jenama lain terutama yang dihasilkan di China.

Terdapat juga perdebatan mengenai sama ada orang ramai perlu mempunyai pilihan memilih vaksin pilihan mereka.  

Dr Adham berkata keberkesanan, keselamatan dan kualiti kesemua vaksin yang diluluskan untuk digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Nasional sudah diperiksa secara menyeluruh oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) – sebelum kemudian dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

“Kerajaan dapat menjamin bahawa setiap varian vaksin yang diberikan diperiksa oleh ahli dan keselamatan, kualiti serta keberkesanannya sudah ditentukan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Hanya vaksin yang menunjukkan hasil memuaskan daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatan yang sudah disetujui, katanya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Malaysia bernasib baik kerana memperoleh bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

Dr Adham berkata kerajaan memperoleh pelbagai jenis vaksin Covid-19 kerana tawaran yang terhad di pasaran global dan juga permintaan tinggi dari pelbagai negara. 

Walaupun begitu beliau berkata Malaysia bernasib baik kerana memperoleh bekalan yang mencukupi. 

“Selain itu vaksinasi akan dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara yang memerlukan bekalan vaksin berlainan secara berterusan,” katanya. 

Dr Adham menambah bahawa vaksin harus diberikan secepat mungkin untuk meningkatkan sistem imuniti. 

“Jika orang ramai dibenarkan memilih vaksin pilihan mereka, maka program vaksinasi skala besar tidak dapat berjalan dengan baik dan dapat dilaksanakan dalam jangka waktu yang ditentukan,” katanya.

“Oleh itu masyarakat disarankan untuk mengambil vaksin yang ditawarkan kepada mereka pada waktu yang dijadualkan,” katanya. 

Dr Adham berkata penting bagi kerajaan untuk memastikan terdapat kesaksamaan vaksin antara bandar dan luar bandar.

“Penting bagi kerajaan untuk memastikan bahawa vaksin Covid-19 diedarkan ke semua daerah di negara ini, persediaan mencukupi untuk semua orang yang memenuhi syarat, tidak kira mereka berada di bandar atau di luar bandar,” katanya. – 8 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen