BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi penerima tertua vaksin Covid-19 di Malaysia setakat ini.
Pemimpin berkenaan menerima dos pertama vaksin di Langkawi hari ini.
“Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir selamat menerima dos pertama vaksin hari ini. Berumur 96 tahun pada tahun ini, beliau adalah penerima vaksin tertua di Malaysia setakat ini,” tulis Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 di Twitter hari ini.
Mengulang siar ciapan Twitter itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata bahawa kerajaan menggalakkan lebih ramai warga emas untuk mendaftar menerima vaksin.
“Pada usia 96 tahun, Dr Mahathir menjadi penerima tertua vaksin Covid-19 di Malaysia. Kami menggalakkan lebih ramai warga emas untuk mendaftar dalam fasa kedua program imunisasi,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook berkata, Dr Mahathir sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi pagi tadi.
Sehingga semalam seramai 127,608 orang sudah menerima vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Nasional Covid-19.
Kira-kira 3 juta orang sudah mendaftar untuk menerima vaksin sejak program ini dilancarkan pada 24 Februari.
Kerajaan menyasarkan untuk memberi suntikan kepada 500,000 petugas barisan hadapan dalam fasa pertama program ini.
Kumpulan berisiko tinggi dan orang ramai akan menerima vaksin pada fasa kedua dan ketiga yang masing-masing melibatkan 9.4 juta dan 13.7 juta orang.
Putrajaya menyasarkan untuk menyuntik 26.6 juta rakyat Malaysia atau 80% penduduk untuk menguatkan imunisasi bagi mengekang penyebaran Covid-19. – 7 Mac, 2021.
Komen