HAMPIR 3 juta orang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat pukul 8 pagi hari ini, menurut data daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
Sebanyak 2,990,577 orang mendaftar nama bagi vaksinasi sejak program ini dilancarkan pada 24 Februari.
Johor mencatat jumlah pendaftaran terbanyak iaitu 335,537 diikuti Kuala Lumpur dengan 292,983 orang.
Sementara itu, 127,608 orang sudah menerima dos vaksin pertama mereka sejak semalam.
Sarawak negeri keempat paling ramai penduduk, menyaksikan jumlah vaksinasi tertinggi sebanyak 18,034.
Ini diikuti Pahang dengan 13,830 orang.
Selangor, negeri paling ramai penduduk dengan jumlah 6.57 juta, berada di tempat ketiga dengan 11,982 orang sudah menerima suntikan vaksin.
Labuan mencatatkan jumlah vaksinasi terendah sebanyak 2,158.
Bagaimanapun, negeri itu hanya mempunyai penduduk seramai lebih 100,000 yang merupakan kedua terendah di negara ini.
Putrajaya menyaksikan 2,290 orang divaksinasi.
Kerajaan berhasrat menyuntik 500,000 barisan hadapan dalam fasa pertama program ini.
Kumpulan berisiko tinggi dan orang ramai akan diberi vaksin pada fasa kedua dan ketiga yang melibatkan 9.4 juta dan 13.7 juta orang.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 150,000 orang sehari pada fasa ketiga.
Kerajaan mensasarkan 26.6 juta rakyat Malaysia atau 80% penduduk bagi mewujudkan imuniti kelompok untuk mengekang penyebaran Covid-19.
Putrajaya memperoleh 66.7 juta dos vaksin.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberitahu The Malaysian Insight pada 19 Februari bekalan itu termasuk untuk seluruh penduduk, termasuk warga asing. – 7 Mac, 2021.
Komen