PKR Sarawak akan ditadbir oleh Majlis Penasihat berikutan peletakan jawatan dan pembelotan bekas pengerusinya Larry Sng, kata parti itu hari ini.
Majlis kepimpinan negeri parti pembangkang itu dalam mesyuarat hari ini memutuskan majlis itu sebagai langkah sementara untuk mengisi jurang kepemimpinan menjelang pilihan raya negeri, kata ketua penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan.
Anyit berkata keputusan itu dibuat secara “muafakat” dan majlis akan terdiri daripada pemimpin kanan dan dipengerusikan oleh timbalan pengerusi PKR Sarawak Abang Dzulkifli Abang Engkeh.
Abang Dzulkifli pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada bekas pengerusi dan menteri kerja raya Baru Bian.
Anyit bagaimanapun tidak menyatakan jumlah ahli majlis penasihat itu.
Katanya, keputusan untuk menubuhkan majlis itu juga telah direstui presiden parti itu, Anwar Ibrahim.
Sng, yang juga ahli Parlimen Julau mengundurkan diri dari PKR pada 28 Februari dan menyatakan sokongannya kepada Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam catatan di Facebook untuk menjelaskan mengapa beliau keluar dari PKR, Sng bekata beliau “tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di Julau dengan berkesan kerana ketiadaan dana pembangunan yang amat diperlukan.”
Kawasan yang diwakilinya, tambah Sng, adalah yang termiskin di negara ini dan “rakyat menderita kerana kesan ekonomi dari pandemik Covid-19”.
Sng berkata, dengan pembelotannya, beliau yakin akan dapat menunaikan janji pilihan rayanya kepada pengundi sebagai wakil rakyat bebas yang mesra kerajaan. – 6 Mac, 2021.
Komen