MENGANJURKAN kursus seni bela diri kepada wanita sebagai penyelesaian bagi mengurangkan kes keganasan rumah tangga adalah salah, kata ahli Parlimen DAP.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh berkata lelaki turut mengalami masalah keganasan rumah tangga kerana ia turut membabitkan ahli keluarga lain seperti kanak-kanak dan warga emas.
Yeoh mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie pada perhimpunan agung wanita MCA hari ini yang mana beliau dilaporkan menggesa wanita untuk mempelajari karate bagi mengurangkan keganasan rumah tangga dan jenayah.
Heng berkata latihan seni mempertahankan diri adalah perlu kerana wanita perlu berani melawan kerana ia mampu menakutkan pemangsa untuk berhenti mengganas malah bertaubat.
“Ini menunjukkan MCA gagal memahami keganasan rumah tangga dan cabarannya,” kata Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut.
“MCA menetapkan penyelesaian yang salah kepada masalah serius seperti keganasan rumah tangga yang boleh menyebabkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa.”
Sementara itu Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata kenyataan Heng adalah tidak sesuai.
“Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada menyakiti fizikal pasangan kerana terdapat juga trauma psikologi, menghalang komunikasi sosial dalam talian dan mengawal kewangan orang lain,” kata Kasthuri di Facebook.
“Kerajaan perlu memberi kesedaran berhubung kepentingan melaporkan kes keganasan rumah tangga dan menawarkan kaunseling pra-perkahwinan.
“Sebaliknya, Wanita MCA tidak memahami dan ketinggalan. Seni bela diri bagus untuk keselamatan tetapi tidak mengurangkan keganasan rumah tangga,” kata Patto. – 6 Mac, 2021.
Komen