KENYATAAN Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menggelar hakim sebagai buaya penjajah sepatutnya boleh dianggap menghina hakim dan juga mahkamah, kata seorang peguam.
Zulqarnain Lukman yang juga pengerusi Biro Undang-undang Amanah berpendapat, kenyataan Hadi itu yang mengumpamakan hakim sebagai haiwan reptilia seperti itu satu tuduhan berat.
“Kalau famili kita dipanggil sebagai buaya penjajah pun kita akan marah. Ini dipanggil hakim dan mahkamah sebagai buaya penjajah, itu kiranya kes berat,” katanya.
Oleh itu, beliau ingin melihat jika peguam negara akan mengambil tindakan ke atas Hadi atas kenyataan yang dianggapnya menghina hakim dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Jelasnya, perkembangan itu akan menunjukkan sekiranya tindakan mengenai tuduhan menghina mahkamah hanya dilakukan secara terpilih dan bukannya mengikut undang-undang yang adil.
“Kita tidak mahu nanti wujud pula tohmahan orang ramai bahawa Malaysia ini mempunyai undang-undang bersifat dua darjat,” katanya.
Beliau berkata demikian dengan merujuk tulisan Hadi di Facebook pada Khamis lalu yang mengumpamakan hakim dengan reptilia berbahaya itu.
Zulkarnain yang merujuk tulisan bertajuk Merdekakan Perlembagaan itu percaya, karangan berkenaan merujuk satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu.
Walau tidak disebut secara khusus, isi karangan Hadi itu jelas merujuk keputusan Iki Putra Mubarrak lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor, katanya.
Dalam tulisan tersebut, Hadi antara lain menyelar para hakim yang menurutnya tidak mengambil kira sensitiviti agama dalam membuat keputusan kes melibatkan perundangan Islam.
Malah sikap para hakim berkenaan berbeza dengan hakim bukan Islam yang menurutnya lebih berhati-hati dalam kes melibatkan sensitiviti agama Islam.
“Malangnya terdapat dalam kalangan para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama.
“Mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicaranya,” katanya yang tidak menamakan hakim berkenaan.
Selanjutnya, Hadi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu mencabar Enakmen Jenayah Selangor dan mengumpamakannya sebagai satu gangguan.
“Apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor, menjadikannya laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang.
“Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya.”
Mengulas kenyataan disiarkah lidah parti PAS itu, Zulkarnain berkata beliau percaya buaya yang disebut merujuk kepada para hakim dan merupakan penghinaan kepada mahkamah.
“Bagi orang biasa kata-kata ini boleh ditafsirkan sebagai menghina Mahkamah Persekutuan. Adalah amat tidak wajar menyamakan hakim atau mahkamah sebagai ‘buaya belaan penjajah British yang tiba-tiba mendongakkan kepala’.”
Gelaran itu juga tidak wajar kerana tanggungjawab meminda undang-undang tinggalan British tersebut kini dipikul ahli Parlimen walau dibentuk lebih awal oleh Suruhanjaya Reid.
“Sekiranya ahli-ahli Parlimen itu sepakat ingin memindanya maka ianya boleh dipinda. Jadi, adalah tidak adil untuk menyalahkan Suruhanjaya Reid sahaja,” katanya.
Zulkarnain menjelaskan bahagian dalam karangan Hadi yang dilihatnya menyalahkan Suruhanjaya Reid menyebabkan agama Islam tidak dijadikan agama Persekutuan.
Tulisan Hadi itu muncul susulan penghakiman Mahkamah Mahkamah Persekutuan minggu lalu ke atas satu penghakiman Mahkamah Syariah dalam satu kes seks luar tabii.
Ia melibatkan permohonan seorang lelaki Iki Putra Mubarrak yang dituduh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas dakwaan melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain.

Panel sembilan hakim memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sewaktu menyampaikan penghakiman berkata Seksyen 28 tidak digubal oleh badan perundangan negeri Selangor secara sah.
Undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen berkenaan hanya boleh digubal melalui Parlimen, katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan permohonan lelaki tersebut untuk mencabar Sekyen 28.
Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa negeri dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa terhadap jenayah liwat kerana kesalahan itu termaktub bawah Kanun Keseksaan.
Penghakiman itu menimbulkan semula persoalan ke atas komitmen PAS dalam kempennya untuk meminda perlembagaan bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.
Kempen itu untuk menyokong Rang Undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 itu yang digerakkan PAS.
Ia dimulakan melalui usul peribadi Hadi sebagai ahli Parlimen Marang yang dikemuka di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016.
Beliau bagaimananpun menangguhkan perbahasan dan membentangkan semula semula pada November 2016.
Hadi kemudiannya membentangkan RUU355 buat kali ketiga pada April 2017 tanpa perbahasan.
Usul tersebut mendapat sokongan Umno yang turut membantu menganjurkan perhimpunan besar sewaktu kerjasama kedua-dua parti mula berputik selepas pilihan raya umum 2018.
Hadi kemudiannya mengakui usul tersebut tidak mendapat sokongan keseluruhan pemimpin Umno.
RUU 355 juga ditentang pemimpin bukan Islam dari MCA, salah satu komponen Barisan Nasional yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional waktu ini.
Hadi pada Januari lalu mengumumkan, usaha membawa RUU355 terpaksa ditangguh sehingga darurat selesai, biarpun kini PAS menjadi sebahagian dalam kerajaan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu sekali lagi memberi jaminan akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan sebaik sahaja darurat berakhir, apabila jangkitan Covid-19 terkawal sepenuhnya dalam negara.
Darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari akan tamat pada 1 Ogos dan akan ditamatkan lebih awal sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas mendapati jangkitan terkawal.
Seluruh persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri digantung dengan proklamasi darurat. – 6 Mac, 2021.
Komen