KERETAPI Tanah Melayu Bhd (KTMB) perlu memberi penjelasan mengenai usaha sama berkaitan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kereta api dengan pihak ketiga baru-baru ini, kata kesatuan pekerja.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad berkata bahawa kerja itu dapat dilakukan secara dalaman oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan mempersoalkan keperluan usahasama dengan Destiny Berhad yang didakwa tidak mempunyai rekod prestasi penyelenggaraan kereta api serta tenaga kerja.
Pada bulan lalu Destini Bhd membuat perjanjian dengan KTMB untuk menubuhkan syarikat usahasama ET Sdn Bhd (ETSB) bagi memperluas kemampuannya dalam perkhidmatan pembaikan dan baik pulih.
Berdasarkan perjanjian itu, Destini akan memperoleh 70% kepentingan dalam ETSB, anak syarikat milik penuh KTMB melalui anak syarikat 100% miliknya, Destini Rail Sdn Bhd.
Baki 30% pegangan saham akan dipegang oleh KTMB, melalui anak syarikat milik penuh KTMB Technics Sdn Bhd.
Presidennya Razak Md Hassan memberitahu The Malaysian Insight bahawa terdapat unsur pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang dilakukan oleh lembaga pengarah KTMB.
“Kami juga berharap agar KTMB dan Kementerian Pengangkutan dapat menjelaskan hal ini,” katanya.
Pada Rabu lepas, kesatuan itu membuat laporan polis dan kenyataan mereka berkenaan usahasama berkenaan diambil oleh Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agong kesatuan, R. Subramaniam berkata ada kemungkinan penglibatan Kementerian Pengangkutan dalam mempengaruhi persetujuan usahasama.
“Kami mempersoalkan adakah ada penglibatan Kementerian Pengangkutan dalam usahasama berkenaan.
“Oleh itu kami mendesak ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk membantu siasatan,” katanya. – 6 Mac, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen