SEKUMPULAN pakar masakan dim sum yang hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 mengambil ikhtiar menjual makanan tradisional Cina itu di medan selera.
Mereka juga tampil dengan idea untuk menjadikan makanan itu mudah didapati dan mampu dibeli oleh orang ramai.
Kumpulan cef itu yang berusia antara 60 dan 80 tahun itu, sebelum ini bekerja di restoran dim sum selama puluhan tahun dan menghabiskan kebanyakan masa mereka menghasilkan makanan itu.
Mak Kok Chiu, 44, yang mengetuai kumpulan itu berkata kepada The Malaysian Insight bahawa tukang masak berpengalaman kebiasaannya memiliki gaji bermula RM8,000 hingga RM10,000.
“Apabila pandemik melanda tahun lepas dan kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP), banyak restoran membuang pekerja kerana perniagaan tidak berjalan,” kata Mak.
Katanya banyak restoran dim sum terpaksa tutup sejak perintah itu dikuatkuasakan.
“Kumpulan kami bertambah dari empat kepada 12 orang kerana kami tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas kehilangan kerja.
“Mereka berharap dapat mencari rezeki. Jadi kami lancarkan jenama Bao, Dim Sum & Yummy.”
Ketika larangan perjalanan masih berkuatkuasa tahun lepas, mereka menunbuhkan platform dalam talian untuk tempahan dan penghantaran makanan.

“Pada awalnya, perniagaan kami sangat bagus. Kami menerima 12 tempahan sehari dengan pendapatan RM6,000 sehari dan lebih RM40,000 sebulan.
“Semua tukang masak perlu membuat dim sum di rumah manakala saya dan isteri akan mengambil tempahan dan menguruskan penghantaran.
“Namun selepas kerajaan melaksanakan PKP (Pemulihan) pada Jun tahun lalu, semua orang mula keluar rumah dan perniagaan kami mula merosot.”
Apabila kerajaan membenarkan makan di restoran pada November tahun lalu, kumpulan tukang masak ini tampil dengan idea untuk membuka kedai dim sum di sebuah medan selera di Puchong, Selangor.
Kini mereka membuka beberapa kedai lagi di Puchong dan Kepong.
“Bagi memastikan pelanggan menikmati dim sum berkualiti, kami hanya masak apabila mendapat tempahan dan harga diletakkan murah.
Katanya tukang masak mahu memakai pakaian bersih dan topi cef ketika memasak.
“Mereka kata kami perlu jadi profesional dan imej sangat penting. Jangan kelihatan selekeh dan kotor. Malah ketika cuaca panas dan waktu sibuk, mereka perlu memakai uniform di gerai.” – 6 Mac, 2021.
Komen