Sarawak meterai perjanjian selesaikan 30% pinjaman pelajar


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di pejabatnya di Wisma Bapa hari ini.

PELAJAR di Sarawak yang mengambil pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) akan menerima bantuan kerajaan negeri untuk melangsaikan pinjaman mereka.

Kerajaan Sarawak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN untuk menegaskan komitmennya bagi membantu pelajar membayar balik tunggakan pinjaman. 

MoU itu dimeterai berikutan janji yang dibuat oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg pada Januari lalu untuk membantu pelajar yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman mereka.

Dalam perjanjian itu, Sarawak akan mendepositkan peruntukan RM30 juta untuk menyelesaikan 30% pinjaman 9,634 orang pelajar. 

Pinjaman itu bagaimanapun secara automatik menjadi biasiswa sekiranya mereka mendapat ijazah kelas pertama dalam pengajian mereka. 

Yayasan Sarawak yang merangka mekanisme pembayaran semula itu turut dilantik sebagai penyelaras bayaran bagi negeri itu. 

Cek dengan jumlah berkenaan diserahkan kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada majlis itu.

Abang Johari yang menyaksikan sesi menandatangani MoU antara Dauki dan pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang di Wisma Bapa hari ini berkata rayuan untuk bantuan itu dibuat oleh pelajar yang ditemuinya pada program Lan Berambeh yang mana pemimpin di negeri itu akan bertemu pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di semenanjung.

Beliau juga berkata mereka yang mengambil pinjaman berkenaan tidak patut dipersalahkan apabila menangguhkan bayaran balik selepas mendengar pengumuman bahawa mereka mungkin tidak perlu membayarnya. 

Ketua menteri itu merujuk kepada janji plihan raya yang dibuat oleh Pakatan Harapan pada kempen pilihan raya umum 2018 yang mana mereka berjanji untuk menggantung bayaran balik PTPTN kepada mereka yang berpendapatan bawah RM4,000. – 5 Mac, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen