KERAJAAN Itali semalam mengumumkan penangguhan pilihan raya tempatan sehingga tamat musim panas apabila wabak koronavirus terus melanda negara berkenaan.
Beberapa bandar penting termasuk Rome, Mila, Naples, Turin dan Bologna dijadualkan untuk memilih datuk bandar baharu pada Jun tetapi situasi pandemik yang semakin buruk menyebabkan kempen menjadi semakin sukar.
Pejabat Perdana Menteri Mario Draghi dalam satu kenyataan selepas mesyuarat kabinet berkata tarikh pilihan raya akan dilakukan pada tarikh yang belum ditentukan antara 15 September dan 15 Oktober.
Keputusan itu juga akan memaksa penjadualan semula pilihan raya daerah di Calabria selatan yang dijadualkan pada April termasuk pilihan raya lain untuk Parlimen nasional.
Itali, salah satu negara yang paling teruk dilanda wabak koronavirus dengan hampir 99,000 kematian dan tiga juta kes – sekitar lima peratus penduduk.
Pihak berkuasa dijangka memperketat sekatan pergerakan kerana bimbang lonjakan kes yang disebabkan oleh jangkitan varian baharu koronavirus. – AFP, 5 Mac, 2021.
Komen