Yakinkan golongan atas pagar dapatkan vaksin Covid-19, gesa pakar kesihatan


Ravin Palanisamy

Kerajaan harus sedar bahawa selain golongan antivaksin terdapat juga kumpulan yang masih dibelenggu perasaan ragu-ragu sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2021.

KERAJAAN perlu melawan mitos vaksinasi Covid-19 dan meyakinkan golongan ‘atas pagar’ jika mahu naikkan angka program imunisasi Covid-19 kebangsaan, kata pakar kesihatan.

Mereka berkata kerajaan harus sedar bahawa selain golongan antivaksin terdapat juga kumpulan yang belenggu perasaan ragu-ragu sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin Covid-19.

Kumpulan ini, kata mereka, tidak mahu disuntik atas beberapa sebab, dan di sinilah pentingnya kerajaan menyampaikan mengapa vaksin perlu diambil.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata penting untuk menghilangkan keraguan dan kebimbangan mereka yang ragu-ragu terhadap vaksin tersebut.

Beliau berkata golongan seperti itu memang wujud dalam sektor politik dan perubatan.

“Kita perlu membezakan antara individu yang ragu-ragu terhadap vaksin dan mereka yang anti-vaksin.

“Mereka yang anti-vaksin pada dasarnya menentang konsep vaksin, dan secara aktif menentang program vaksinasi.

“Mereka yang ragu-ragu tidak menolak vaksin secara langsung tetapi mempunyai keraguan dan kebimbangan yang dapat ditangani melalui hujah rasional, maklumat yang tepat dan bukti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azrul berkata walaupun strategi komunikasi program imunisasi Covid-19 kerajaan baik, namun ada keperluan untuk meningkatkan kepercayaan antara masyarakat dan kerajaan.

“Strategi komunikasi sekarang jelas, telus, tidak defensif dan terbuka untuk semua jenis pertanyaan, bagaimanapun mengecewakan mereka. Ini akan ambil masa untuk kemukakan kebimbangan dan ketakutan mereka yang ragu-ragu,” katanya.

“Namun beberapa perkara yang dikemukakan itu sah dan perlu diambil kira. Mereka tidak boleh dibakulsampahkan atau diabaikan kerana ini akan tingkatkan defisit kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.

“Apa yang boleh dibuat adalah memberikan hujah yang munasabah dan rasional berdasarkan sains dan bukti.”

Mengenai anti-vaksin, beliau berkata mereka akan terus menolak untuk mengakui sains, mengakui fakta dan menerima kenyataan.

Lebih banyak komunikasi diperlukan

Hampir seminggu setelah Malaysia memulakan pendaftarannya untuk program vaksinasi Covid-19, kerajaan bersetuju jumlah itu jauh dari sasaran yang diharapkan.

Setakat ini, kurang dari dua juta orang telah mendaftar untuk vaksinasi sementara kerajaan menjangkakan untuk menyuntik 26.6 juta rakyat Malaysia, atau 80% penduduk, untuk mewujudkan imuniti kelompok yang akan mengekang penyebaran Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan data dikumpulkan di bawah Covid-19 World Symptom Survey yang sedang berlangsung, yang dilakukan oleh Facebook dan University of Maryland di Amerika Syarikat, pada 6 Februari, sekitar 74.39% responden dari Malaysia bersedia untuk diberi vaksin sementara 20% dari mereka ragu-ragu atau tidak pasti sama ada akan menerima atau menolak vaksin.

Pakar kesihatan awam dan ahli epidemiologi Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya berkata mungkin sukar untuk mengubah pemikiran anti-vaksin tetapi bersetuju kerajaan perlu mendekati mereka yang ragu-ragu terhadap vaksin.

Beliau berkata kerajaan harus melibatkan pakar dan NGO yang boleh dipercayai untuk bercakap tentang perkara ini secara berterusan.

“Mungkin sukar untuk mengubah pemikiran anti-vaksin dan banyak teori mereka didasarkan pada pseudosains atau teori konspirasi.

“Mereka yang ragu-ragu dengan vaksinlah harus kita dekati. Untuk lakukan ini, kita perlukan berhubung dengan orang ramai melalui komunikasi secara besar-besaran oleh pakar komunikasi yang diberi nasihat oleh saintis tingkah laku.

“Mereka harus bertekad untuk faham kenapa mereka ragu-ragu. Kita perlu berkomunikasi dengan orang yang menunjukkan keraguan vaksin dengan cara yang telus, mudah difahami dan tidak merendahkan.

“Pakar yang berwibawa harus mendekati, membicarakan masalah ini. Ini perlu dilakukan secara berterusan sepanjang tempoh vaksinasi,” katanya.

Tambahnya kerajaan perlu melibatkan masyarakat awam dan kumpulan sukarelawan untuk mendekati mereka yang ragu-ragu dan pendatang tanpa dokumen yang mungkin takut untuk ke hadapan. – 5 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen