PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, di Putrajaya.
Mesyuarat itu antaranya akan membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan Umno yang juga rakan kerjasamanya di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ini susulan surat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Surat bertarikh 26 Februari berkenaan juga menyatakan kebersamaan Umno dengan Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu dan naib-naib presiden termasuk Ronald Kiandee, Radzi Jidin serta Mohd Rafiq Naizamohideen.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan, Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi Rina Mohd Harun.
Antara ahli MPT lain yang turut kelihatan termasuk Saifuddin Abdullah, Mustapa Mohamed, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin. – Bernama, 4 Mac, 2021.
Komen