Brazil catat rekod hari kedua kematian Covid-19


Situasi Covid-19 di Brazil semakin buruk dengan lonjakan kes susulan musim cuti dan karnival, ketika orang ramai mengabaikan pembatalan acara rasmi untuk mengadakan perhimpunan besar dan pesta. – Gambar EPA, 4 Mac, 2021.

BRAZIL mencatatkan rekod kematian akibat Covid-19 untuk hari kedua berturut-turut pada Rabu.

Lonjakan kes kini menyebabkan sistem kesihatan semakin kritikal di banyak daerah, Brazil yang mencatatkan 259,271 kematian, menurut kementerian kesihatan - angka kematian kedua tertinggi di seluruh dunia, selepas Amerika Syarikat.

“Untuk pertama kalinya sejak wabak bermula, kita melihat kemerosotan di seluruh negara,” kata institusi kesihatan awam Fiocruz sebelum angka terbaru diterbitkan.

“Situasinya amat membimbangkan.”

Angka kematian dalam tempoh 24 jam Brazil baru saja mencipta rekod pada Selasa dengan jumlah 1,641.

Negara yang mempunyai 212 juta penduduk ini mengalami minggu paling buruk, dengan purata 1,331 kematian setiap hari.

Brazil bergelut mengawal penularan Covid-19

Presiden Jair Bolsonaro menerima kritikan kerana meremehkan koronavirus, mengecam nasihat pakar untuk membendungnya dengan perintah berkurung dan pemakaian pelitup muka, serta kelewatan melaksanakan vaksinasi.

Kini, keadaan semakin buruk dengan  lonjakan kes susulan musim cuti dan karnival, ketika orang ramai mengabaikan pembatalan acara rasmi untuk mengadakan perhimpunan besar dan pesta.

Pakar berkata kemunculan varian virus baharu yang dikenali sebagai P1 di kota Manaus di hutan hujan Amazon juga antara punca lonjakan baru-baru ini.

Variannya kini terdapat di 17 daripada 27 negeri di Brazil, dan dikesan beberapa belas negara.

Kajian menunjukkan ia lebih mudah menular berbanding jenis virus yang asal dan boleh menjangkiti semula bekas pesakit Covid-19. – AFP, 4 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen