JIKA ada gelaran “katak politik paling produktif di Sarawak”, Larry Sng pasti akan menjadi individu paling layak untuk menerimanya, kata penganalisis.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight tiada ahli politik Sarawak lain dapat menyainginya apabila berbicara mengenai isu lompat parti.
Sng, bekas ketua PKR negeri, bertukar parti dan sekutu sebanyak empat kali dalam tempoh 20 tahun.
Mengumumkan diri sebagai penyokong Muhyiddin Yassin terbaharu, mengikuti jejak langkah ayahnya yang merupakan seorang ahli perniagaan jutawan, Sng Chee Hua, masuk ke arena politik pada usia 22 tahun apabila bergabung dengan Dayak Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada 2001.
Penyertaannya itu adalah untuk membolehkan parti meletakkannya sebagai calon bagi menggantikan ayahnya di kerusi Pelagus pada pilihan raya 2001.
Sng menang dan terus menjadi Adun selama dua penggal.
Sebagai muka baharu dalam politik, beliau memerhatikan ayahnya, yang kemudian menjadi naib presiden parti memainkan peranan penting dalam perebutan kuasa dalam parti Dayak yang akhirnya menyebabkan pembatalan pendaftarannya pada 2003.
Chee Hua kemudian bekerjasama dengan ketua penerangan parti ketika itu James Masing dalam pertarungan bagi merebut dua jawatan tertinggi parti - Masing sebagai presiden dan Chee Hua sebagai timbalan.
Ketika parti itu dibatalkan pendaftarannya, Masing dan Chee Hua membentuk parti mereka sendiri, Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Sng turut menyertainya tetapi kerjasama Masing-Chee Hua hanya bertahan dua tahun.
Sebaik sahaja selepas pilihan raya negeri 2006, pasangan ayah dan anak itu berusaha menjatuhkan Masing dengan cara yang mengingatkan kita kepada apa dilakukan oleh Chee Hua di dalam PBDS.
Dalam pertengkaran dua tahun itu, PBDS mempunyai dua presiden, dua dewan tertinggi dan dua ibu pejabat.
Apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 2008 mengisytiharkan Masing sebagai presiden yang sah, kedua beranak itu dan penyokong mereka dipecat.
Tanpa parti, Barisan Nasional (BN) negeri tidak dapat menyokong mereka untuk mempertahankan kerusi Pelagus pada pilihan raya negeri 2011.
Pada 2012, Sng berusaha mencari jalan melalui Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditubuhkannya dengan tujuan mengalahkan PRS pada pilihan raya 2013.
Sng bertanding di kerusi majoriti Dayak Lubok Antu pada pilihan raya umum tetapi kalah. Begitu juga dengan semua calon SWP. Pada April 2016, Sng secara tidak dijangka mengundurkan diri.
Dalam catatan di Facebook rasminya yang menjelaskan sebab beliau keluar daripada parti yang diasaskannya, Sng berkata beliau berasa tidak dapat berkhidmat dengan kawasannya tanpa BN.
Namun, beliau membuat kemunculan semula dalam pilihan raya 2018 dengan memenangi kerusi Julau sebagai calon bebas. Kemenangan itu membuka jalan baginya bergabung dengan PKR.
Tidak mengejutkan
Bagaimanapun, Awang Azman, berkata keputusan Sng keluar daripada PKR tidak mengejutkannya.
“Beliau pernah keluar daripada PBDS, PRS, menjadi Adun bebas dan bahkan menubuhkan SWP.
“Kerap mengubah pendirian politik bukanlah hal baru baginya.”
Pakar politik Universiti Putra Jayum Jawan berkata sejak Sng “tidak begitu signifikan dalam senario politik Sarawak”, pemergiannya tidak akan memberi kesan kepada PKR.
“Kehadirannya tidak menjadikan PKR lebih dapat diterima di kalangan orang Cina, komunitinya sendiri, atau orang Dayak yang memilihnya di Julau. Oleh itu, keluar daripada PKR juga tidak akan melemahkan parti itu,” kata Jayum.
“Beliau tidak mempunyai reputasi politik”.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah parti politik mana yang bersedia menerimanya.
Pengarah Institut Asia daripada Universiti Tasmania, James Chin berkata beliau difahamkan Sng “sudah memutuskan parti mana yang akan disertainya tetapi memilih untuk berdiam.”
“Ada khabar angin beliau mungkin memikirkan untuk kembali kepada gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS),” tambah Chin.
Terdahulu, Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing, seorang ahli GPS memberitahu The Malaysian Insight Sng tidak dialu-alukan menyertai partinya, sambil menambah mereka akan berusaha merebut kerusi Julau milik “katak politik”, kata penganalisis. – 4 Mac, 2021.
Komen