MASIH ramai keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terus berdepan kesukaran walaupun menerima bantuan, kata kumpulan masyarakat sivil.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, walaupun keluarga ini disediakan makanan dan keperluan asas, mereka masih tiada pekerjaan, kekurangan bekalan perubatan dan peralatan pendidikan.
Setiausaha Agung United Sikh Malaysia, Anildeep Singh berkata kebanyakan keluarga di PPR berdepan tekanan kerana sumber mata pencarian mereka masih terjejas.
“Mereka menerima pendapatan harian dan kebanyakan mereka hilang pekerjaan kerana pandemik. Ini menjadi punca mereka berdepan tekanan.
“Mereka tidak mempunyai pendapatan dan ini menyebabkan mereka tertekan,” kata Anildeep kepada The Malaysian Insight.
Anildeep mengulas mengenai laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bertajuk “Keluarga di Pinggiran” yang mendapati keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur berdepan tekanan kerana bimbang untuk meneruskan hidup kerana situasi sosio-ekonomi mereka terkesan dengan pandemik.
Sebanyak 500 keluarga di PPR di Kuala Lumpur terlibat dalam kajian bersama oleh agensi PBB - Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) dan United Nations Population Fund (UNFPA).
Laporan itu mendapati tidak mampu menyediakan makanan mencukupi kepada keluarga dan kekurangan peluang pekerjaan menjadi kebimbangan utama golongan isi rumah ini.
Anildeep berkata tekanan dihadapi mereka semakin memuncak apabila sesi persekolahan bermula dan mereka bimbang tidak dapat menyediakan keperluan untuk anak-anak.
“Mereka akan mula bimbang tentang wang untuk barangan persekolahan dan perkara lain. Ada juga yang berkata mereka perlukan wang untuk bayar sewa dan perubatan untuk orang tua mereka.
“Ada keluarga yang mempunyai anak sakit dan saudara mara tinggal bersama, jadi kos sara hidup keluarga semakin meningkat. Ini berlaku di seluruh Kuala Lumpur,” katanya.
United Sikh Malaysia kini membantu keluarga di 13 PPR sekitar Kuala Lumpur.
Anildeep berkata ia merupakan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur untuk tampil dan membantu keluarga ini.
“Rakyat perlukan lebih banyak bantuan. Mereka juga tidak boleh bergantung kepada bantuan secara one-off yang diberikan kerajaan.”
Menurutnya, selain menyediakan bantuan makanan, United Sikh Malaysia mempunyai sekumpulan doktor yang membantu menyediakan perubatan kepada golongan yang memerlukan.
“Kami akan memohon ubat-ubatan berdasarkan kes selepas menilai permintaan mereka.”
Setiausaha Eksekutif Pusat Bantuan Sentul, Stephen Niles Lee berkata selain makanan, keluarga di PPR memerlukan bantuan pendidikan dan perubatan untuk anak-anak mereka.
“Banyak yang termasuk dalam kategori B40 dan kehilangan pekerjaan. Sebilangan mempunyai lebih daripada tiga anak dan sukar bagi mereka semua mendapat akses pembelajaran dalam talian kerana mereka tidak mempunyai peranti.
“Ada juga warga tua dengan keadaan perubatan dan mereka tidak dapat membeli ubat.
“Apa yang kami lakukan adalah berusaha mendapatkan penderma untuk menaja ubat bagi mereka,” katanya.
Lee berkata pusat itu membantu kira-kira 2,000 keluarga dalam tujuh skim PPR di kawasan Batu, Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, pusat itu membantu 500 keluarga, tetapi jumlah isi rumah yang memerlukan bantuan meningkat kepada lebih 4,000 orang selepas 18 Mac.
“Mereka daripada kumpulan B40 yang kehilangan pekerjaan adalah kumpulan yang sangat memerlukan bantuan.
“Namun, sejak Jun jumlahnya mulai menurun, tetapi kami masih terus membantu orang yang memerlukan,” katanya.
Lee berkata bantuan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, roti, susu dan minuman diberikan kepada keluarga ini.
Katanya, barangan tersebut diagihkan kira-kira dua atau tiga kali seminggu bergantung kepada sumbangan.
“Kadang-kadang sayur, hari lain mungkin roti atau keperluan lain; ia bergantung apa yang kami terima daripada penyumbang.
“Berdasarkan data, kami akan mengagihkan bantuan sesuai dengan apa yang sangat diperlukan oleh PPR tertentu.”
Pusat ini mempunyai senarai 100 isi rumah paling memerlukan yang selalu menerima makanan dan bekalan asas lain.
“Setiap bulan keluarga ini akan diberi bantuan makanan dan barang keperluan lain.
Pegawai Kebajikan Pusat Bantuan Sentul, T. Ragawenthira berkata mereka meneruskan kelas tuisyen yang terhenti disebabkan PKP awal tahun ini.
“Kami kini mempunyai 30 pelajar yang diajar oleh sukarelawan. Kami akan memperluas program ini.
“Kami juga memberikan latihan kepada ibu tunggal menjalankan perniagaan, dan bantuan guaman.” – 4 Mac, 2021.
Komen