SEMUA jemaah haji wajib mengambil vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah, sebelum boleh dibenarkan untuk menyertai ibadah itu yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Dr Tawfiq dipetik media di Arab Saudi bagaimanapun tidak menyebut sama ada jemaah dari luar negara akan diberi kebenaran untuk ikut sama mengerjakan haji pada tahun ini.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan menjelaskan vaksin Covid-19 akan menjadi “syarat utama jemaah”, selepas Dr Tawfiq menyebut “vaksin wajib” untuk mereka yang akan terlibat mengerjakan haji atau bertugas menguruskan jemaah haji pada tahun ini.
Ibadah haji dikerjakan di tengah penularan pandemik Covid-19 pada akhir Julai 2020 melibatkan hanya lebih kurang 1,000 jemaah yang sudah sedia menetap di Arab Saudi.
Ibadah lima hari itu biasanya disertai sehingga 2.5 juta umat Islam pada setiap tahun.
Arab Saudi memulakan program vaksinasi Covid-19 pada 17 Disember lepas, dengan menggunakan vaksin jenis Moderna, Pfizer and AstraZeneca.
Sehingga ini, Arab Saudi mencatatkan lebih 377,700 kes Covid-19 dengan lebih kurang 6,500 kematian. – 3 Mac, 2021.
Komen