Rumah kebajikan kurang dana, bergantung pada wang simpanan


Angie Tan

Banyak rumah kebajikan terpaksa bergantung kepada simpanan, yang mungkin hanya bertahan untuk tempoh enam hingga 12 bulan lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Tahun Baru Cina baru-baru ini menyebabkan jumlah pelawat ke rumah kebajikan merosot, sekali gus tiada sumbangan besar seperti yang diharapkan.

Beberapa pengendali rumah kebajikan yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka kini bergantung kepada simpanan, yang mungkin hanya bertahan untuk tempoh enam hingga 12 bulan lagi.

Pengasas Persatuan Rumah Caring Kajang Wendy Yap berkata sumbangan yang diterima semasa Tahun Baru Cina baru-baru ini sangat sedikit, tidak seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Kebiasaannya orang perseorangan dan syarikat akan datang melawat dan menyumbang wang tunai serta barangan keperluan. Tetapi tahun ini jumlah pelawat merosot sehingga 90%,” kata Yap.

Ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala penderma tetap pula mengalami masalah kewangan akibat Covid-19.

Rumah kebajikan Yap yang diasaskan 17 tahun lalu itu mempunyai 61 penghuni warga emas. Kekangan kewangan menyebabkan cukai jalan dua kenderaan milik rumah kebajikan di Kajang itu tidak dapat diperbaharui.

“Kenderaan ini digunakan untuk bawa penghuni berjumpa doktor dan untuk kegunaan sukarelawan kami. Tetapi kami tidak mampu perbaharui cukai jalan, dan kami tak tahu nak buat macam mana.

“Kalau dulu, ada sahaja orang yang baik hati hulurkan bantuan. Tahun ini berbeza, sebab tak ramai pelawat yang datang.

“Saya tak tahu bagaimana dengan nasib kami tahun ini. Empat pekerja kami pun setiap bulan lewat terima gaji.

“Kami cuba kutip dana dalam talian tetapi tak dapat sambutan. Jadi, sekarang kami hanya gunakan wang simpanan untuk bertahan,” kata Yap.

Bagiamanapun, rumah kebajikannya masih menerima sumbangan makanan kering. 

Masalah kekurangan sumbangan turut dihadapi oleh Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor di Banting, yang menempatkan 400 penghuni.

Penyelarasnya Chan Chee Wang, berkata lokasi pusat jagaan yang terpencil menyukarkan pelawat untuk datang berkunjung.

“Sekatan pergerakan yang melarang rentas negeri dan daerah lebih menyukarkan keadaan,” katanya.

Menurut Chan, mereka terpaksa menggunakan baki dana yang diterima pada Tahun Baru Cina tahun lepas untuk teruskan operasi.

Selain itu, sindiket penipuan bantuan kebajikan juga menyebabkan ramai orang tidak mahu menderma, sehinggakan untuk mengumpul sumbangan RM300 pun begitu sukar ketika ini, tambahnya.

“Aktiviti sindiket ini menyebabkan kami pun terpalit sama sedangkan kami tidak terlibat langsung.”

Chan bagaimanapun bersyukur kerana masih ada penjual daging dan peniaga lain di pasar berdekatan yang menyumbang makanan kepada pusat jagaan di Banting itu.

Pengasas House of Love founder Joseph Pang yang ditemui The Malaysian Insight pula berharap pandemik Covid-19 akan cepat berakhir supaya aktiviti mengumpul dana dapat dijalankan.

“Mengutip dana dalam talian memerlukan ramai kenalan. Lebih mudah melalui majlis makan malam amal,” katanya.

Rumah kebajikan Pang yang terletak di Klang, Selangor, diasaskan pada 2012, dan memerlukan RM20,000 sebulan untuk kos operasi. – 3 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen