DUA lagi pusat rawatan dan kuarantin berisiko rendah (PKRC) akan dibuka di bahagian pentadbiran luar bandar Betong susulan lonjakan mendadak jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
Tempat kelahiran Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah yang terletak kira-kira 140km dari Kuching mencatat 49 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir – semuanya berkaitan dengan kluster tunggal iaitu kluster Jalan Muhibbah.
Kluster ini tersebar dari perhimpunan sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.
Susulan semakin banyak kes dari kluster itu dikesan, sembilan rumah panjang di sana juga diarahkan untuk dikenakan perintah berkurung selepas kes positif dikesan dalam kalangan penghuninya.
Mereka berpotensi untuk meningkatkan jumlah jangkitan.
Sebanyak 49 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif bagi kawasan ini sebanyak 202 kes dengan satu kematian.
Uggah, selepas mempengerusikan jawatankuasa pengurusan bencana bahagian Betong hari ini diberitahu bahawa 93 kes aktif yang kini dirawat di hospital atau diasingkan di pusat sukan Amar Stephen Kalong Ningkan.
Bandar Spaoh dan lokasi di daerah yang dikenali sebagai “Simpang Layar” di jalan raya Pan Borneo diperuntukkan untuk pusat baharu berkenaan.
Apabila beroperasi, kedua-dua pusat ini dapat merawat antara 150 sehingga 200 pesakit.
Dalam mesyuarat itu Uggah berkata bahawa beliau sudah memerintahkan anggota sembilan jawatankuasa keselamatan dan pembangunan rumah panjang (JKK) untuk bertanggungjawab agar penduduk di bawah jagaan mereka mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan untuk memutuskan rangkaian jangkitan.
Menurutnya sekiranya anggota JKK memainkan peranan mereka, ia akan memudahkan pihak berkuasa lain seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam, majlis tempatan dan tentera dari tugas-tugas tersebut bagi memastikan penduduk berada dalam unit mereka semasa tempoh perintah berkurung.
“Masanya sudah tiba untuk kita menyerahkan tanggungjawab kawal selia sendiri kepada ketua rumah panjang dan anggota JKKnya,” katanya. – 2 Mac, 2021.
Komen