JUMLAH pesakit pulih akibat Covid-19 melebihi kes baharu untuk hari kedua berturut-turut selepas seramai 2,528 orang dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata ini menjadikan jumlah pesakit pulih dari virus berkenaan seramai 278,431 orang.
Beliau berkata sebanyak 1,555 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 304,135.
Noor Hisham berkata Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi setakat ini dengan 672 kes diikuti oleh Johor sebanyak 163 kes dan Sarawak dengan 159 kes.
Katanya, jumlah kes aktif di negara ini kini berjumlah 24,563 kes.
Noor Hisham berkata, enam kematian juga dilaporkan, menjadikan jumlah kematian seramai 1,141 orang.
Katanya, 204 orang kini berada di unit rawatan rapi (ICU) sementara 96 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 2 Mac, 2021.

Komen