PERJALANAN rentas daerah kini dibenarkan di semua negeri kecuali Sabah mulai Jumaat ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Pengumuman itu dibuat susulan kerajaan memutuskan untuk menukar status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang berkuatkuasa 5 hingga 18 Mac.
Kerajaan bagaimanapun masih tidak membenarkan perjalanan rentas negeri, kata Ismail Sabri.
“Sidang khas MKN bersetuju untuk membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negeri kecuali Sabah, manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
“Bagi Sabah, sebenarnya kerajaan negeri memohon agar sekatan daerah dikekalkan lagi untuk tempoh dua minggu.
“Kita faham Sabah negeri yang besar yang mana satu daerah mereka sebenarnya lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung,” katanya pada sidang media hari ini.
Ismail Sabri juga berkata status PKPB di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal, manakala status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada PKP Pemulihan (PKPP).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang media petang tadi, Ismail Sabri berkata pergerakan rentas antara Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan di bawah PKPB.
“Seperti yang dilaksanakan sewaktu PKPB 1.0, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dianggap satu zon. Pergerakan rentas antara Selangor ke Kuala Lumpur adalah dibenarkan.
“Bagaimanapun pergerakan dari Selangor atau Kuala Lumpur ke Putrajaya masih tidak dibenarkan kerana Putrajaya berstatus PKPP.
“Ini bagi melindungi Putrajaya daripada penularan Covid-19,” katanya. – 2 Mac, 2021.
Komen