Malaysia catat jumlah pelaburan rendah pada 2020


Ragananthini Vethasalam

Penurunan pelaburan diluluskan terjejas akibat penurunan permintaan global susulan pandemik dan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2021.

MALAYSIA mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion pada 2020, kadar 22.42% lebih rendah berbanding RM211.4 bilion yang dicapai tahun sebelumnya, kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) berkata RM164 bilion melibatkan 4,599 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, dan utama.

“Pelaburan ini diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi selepas ia dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan mengumumkan prestasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) 2020 hari ini.

Secara perbandingan, terdapat 5,287 projek dengan pelaburan berjumlah RM211.4 bilion yang diluluskan pada 2019.

Penurunan pelaburan disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan primer yang secara langsung terjejas penurunan permintaan global akibat pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020, sebanyak RM99.8 bilion atau 60.9% sementara pelaburan langsung asing merangkumi 39.1% baki selebihnya pada RM64.2 bilion.

Mida berkata sektor pembuatan mencatatkan pelaburan tertinggi berjumlah RM91.3 bilion.

Ini diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM66.7 bilion dan sektor primer sebanyak RM6.0 bilion.

Dari segi negara, China terus menjadi sumber pelaburan nombor satu bagi Malaysia dengan RM18.1 bilion.

Ini diikuti Singapura sebanyak RM10 bilion dan Belanda RM7 bilion.

Ketiga-tiga negara ini secara kolektif menyumbang 54.8% daripada jumlah FDI bagi 2020.

Bagi negeri pula, Selangor merupakan penerima pelaburan diluluskan terbesar pada tahun lalu sebanyak RM38.7 bilion diikuti Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion).

Lima negeri ini secara kolektif menyumbang lebih 60% daripada jumlah pelaburan untuk 2020. – 2 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen