JAWATANKUASA Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) ini mendesak kerajaan melibatkan sektor swasta untuk membantu dalam usaha vaksinasi bagi mengatasi isu kekangan kapasiti dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.
Jawatankuasa berkata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin pada Januari memaklumkan sasarannya memberi 75,000 dos vaksin sehari.
“Namun, pada 28 Februari 2021, menteri yang sama berkata, melalui Twitter hanya 15,923 rakyat Malaysia divaksinasi pada hari itu.”
“Kami tidak pasti apakah sasaran harian 75,000 suntikan tidak dapat dicapai pada minggu ini kerana ia minggu pertama program vaksinasi Covid-19.”
Tetapi ini mungkin petanda awal yang sistem vaksinasi ketika ini dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mungkin tidak memiliki kapasiti mencukupi untuk mencapai target 75,000 suntikan sehari,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa itu berkata kekangan kapasiti akan lebih jelas pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NCIP) yang akan melibatkan 9.4 juta dan 13.7 juta orang - jauh melebihi 500,000 orang pada Tahap 1.
“Sebagai langkah lebih proaktif, KKM perlu segera mempertimbangkan kerjasama dengan hospital swasta untuk bersama-sama memastikan kejayaan program dengan lebih cepat untuk mencapai tahap 80% imuniti kelompok,” kata jawatankuasa itu.
Contoh kerjasama ini adalah dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Pengagihan Vaksinasi (VDC) di klinik atau hospital swasta.
Mereka berkata dengan lebih banyak VDC, kemungkinan ada “kesesakan” di VDC dapat dikurangkan.
“Pada masa yang sama, langkah penjarakan sosial yang lebih efektif boleh dilakukan jika ada lebih banyak lokasi VDC,” tambahnya.
Namun, terma dan syarat Kerjasama Swasta Awam (PPP) harus telus untuk memastikan tugas itu tidak diberikan kepada “syarikat tertentu sahaja”.
Jawatankuasa itu berkata pemain daripada sektor swasta yang memenuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian PPP harus diberi peluang bergabung dengan NCIP.
“Kami menegaskan vaksin tidak sepatutnya dijual kepada sektor swasta untuk dijual kepada pembida tertinggi selagi terdapat kekurangan vaksin setempat.”
Sektor swasta akan memberikan suntikan mengikut jadual nama yang ditentukan oleh KKM.
Sebilangan pihak swasta bahkan boleh mengambil bahagian dalam NCIP sebagai sumbangan CSR (tanggungjawab sosial korporat), kata mereka.
Jawatankuasa itu menambah penglibatan sektor swasta secara tersusun dan telus dapat meningkatkan keselamatan dan keberkesanan proses vaksinasi. – 2 Mac, 2021.
Berita penuh di sini
Komen