Amanah krisis sejak pemilihan lagi, kata sumber parti


Mohd Farhan Darwis

Amanah berdepan krisis dalaman apabila terdapat segelintir pimpinan yang tewas pemilihan parti pada 2019 cuba diketepikan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2021.

KRISIS dalam Amanah bermula selepas pemilihan parti pada 2019 lalu apabila terdapat segelintir pimpinan yang tewas cuba diketepikan, kata sumber dalaman parti.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kelompok parti dan antara isu yang menyebabkan seorang demi seorang wakil rakyat meninggalkan Amanah, dedah sumber itu.

Tambahnya, anggota parti juga keliru sama ada Amanah akan menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim atau Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

“Selepas pemilihan ada antara mereka yang dilantik ke jawatan tertentu cuba ketepikan mereka yang kalah. Kita rasa tak sedap macam itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ia merupakan antara pencetus yang menyebabkan Amanah kehilangan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), masing-masing tiga di Johor dan dua di Selangor.

Dua Adun Amanah Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) mengorak langkah lebih awal menyertai PKR pada tahun lalu.

Tiga Adun Amanah Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Serom), Faizul Amri Adnan (Senggarang) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) pula menyertai PKR pada Oktober selepas sebulan memohon.

Seorang lagi wakil rakyat Amanah di Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong) juga mengumumkan keluar parti itu namun menjadi Adun Bebas.

Sumber Amanah Johor juga mengesahkan kepada The Malaysian Insight, tiga wakil rakyatnya keluar parti selepas diketepikan dan tidak memegang sebarang jawatan selepas kalah pemilihan.

Sumber yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, isu dalaman pemimpin negeri tersebut yang timbul selepas pemilihan Disember 2019 itu sudahpun dalam pengetahuan pimpinan tertinggi parti.

Presiden Amanah Mohamad Sabu secara terbuka sewaktu konvensyen pada bulan berikutnya menyatakan rasa tidak senang kerana parti itu berantakan selepas pemilihan.

“Masih ada riak dan gejala yang amat saya tidak senangi. Kita mahu ahli bersaing secara sihat dan terbuka, namun pertikaian serta konflik yang berlanjutan hingga ke hari ini mesti ditangani secara lebih tuntas dan muktamad,” katanya.

Namun walaupun timbul pergeseran, PKR tidak harus menangguk di air keruh dan menambah penguasaan parti dengan menerima wakil rakyat tersebut, kata seorang lagi pemimpin Amanah.

Pemimpin Amanah itu yang enggan namanya disiarkan kecewa kerana wakil rakyat Amanah yang menyertai PKR itu ditawarkan kerusi Parlimen untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tiada parti yang tiada pergeseran dalaman, semua organisasi ada, cuma parti rakan jangan menangguk di air keruh.

“Kalau PKR tak suka wakil rakyat mereka keluar parti, kami juga begitu. Kalau nak berpakat, buat cara nak berpakat. Jaga adab dan muafakat,” katanya.

Jelasnya, perkara itu tentunya berlaku kerana diperkatakan rakan-rakan dalam parti.

“Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Cuma masalahnya, mereka ini diumpan secara peribadi dan hanya memaklumkan kepada rakan lain mereka ditawarkan bertanding kerusi Parlimen jika menyeberang.

“Ada juga yang bermimpi nak jadi menteri besar. Politik apa ini, tikam belakang kawan?” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika Amanah cuba menggembleng sokongan komponen Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan gabungan besar pembangkang.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pada Disember lalu berkata PKR dan DAP secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Presiden Amanah Mohamad Sabu juga berkata, Amanah akan terus memainkan peranan mengukuhkan PH serta meluaskan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Katanya, PH mampu mencari titik persamaan dengan mengukuhkan kembali hubungan antara semua pembangkang sedia ada dan membentuk satu gabungan besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. – 5 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen