MENTERI Besar Johor Hasni Mohammad dan barisan exco kerajaan negeri hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermula proses vaksinasi mencegah pandemik di negeri itu.
Mereka disertai kumpulan pertama petugas barisan hadapan diketuai Pengarah Kesihatan Johor Aman Rabu dan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Fasa kedua pula akan menyusul, iaitu melibatkan warga emas, individu yang mempunyai komorbiditi (lebih daripada satu penyakit) seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya serta golongan orang kurang upaya (OKU).
“Seterusnya, fasa ketiga pula akan melibatkan masyarakat yang berumur 18 tahun ke atas dan kerajaan negeri mensasarkan lebih 80% rakyat Johor akan mendapat imunisasi Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Dewan Muafakat Johor, di Taman Daya, Johor Bahru.
Hasni menjelaskan terdapat lebih 41,000 petugas barisan hadapan di Johor, dan sebanyak 35,100 daripada mereka akan diberikan suntikan vaksin Covid-19.
Beliau juga memberi jaminan tiada pilih kasih di Johor dalam urusan pemberian vaksin, yang akan mengutamakan petugas barisan hadapan.
“Senarai nama penerima yang menerima suntikan dos pertama ini kita (kerajaan negeri) akan serahkan kepada Kementerian Kesihatan dan kita akan ikut (senarai) yang dikeluarkan kementerian,” katanya.
Fasa pertama pemberian vaksin di Johor akan melibatkan 62 pusat pemberian vaksin (PPV) manakala anggota KKM akan menerima suntikan di fasiliti kementerian berkenaan.
Anggota petugas barisan hadapan bukan daripada KKM pula akan menerima suntikan vaksin di dewan-dewan yang ditetapkan oleh pejabat daerah.
Semalam, tular dakwaan terdapat 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 lebih awal, sehingga menyebabkan petugas barisan terpaksa dikeluarkan dari senarai.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin bagaimanapun menepis dakwaan yang disifatkannya berita tidak benar, fitnah, dan berniat jahat.
Beliau berkata, kerajaan negeri Kelantan juga tidak pernah masuk campur dalam sebarang proses menentukan senarai penerima vaksin Covid-19 di negeri itu sebaliknya ia dilakukan sendiri oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
“Isu ini sudah tular di Facebook, Twitter dan WhatsApp sehingga ke peringkat menteri. Jadi saya ingin menjelaskan berita itu adalah satu fitnah dan tidak benar.
“Malah sebagai orang yang menguruskan hal ini (suntikan vaksin), saya tidak membincangkan apa-apa senarai nama dan tidak pernah memberi tekanan kepada JKNK supaya suntikan vaksin didahulukan kepada barisan pemimpin berbanding golongan petugas barisan hadapan,” katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin susulan itu meminta pemberi maklumat untuk tampil sekiranya mempunyai aduan mengenai dakwaan cubaan memotong barisan dalam mendapatkan vaksin Covid-19.
Dalam ciapan di Twitternya, Khairy berkata, pihaknya juga tidak menggalakkan exco mana-mana negeri menerima suntikan sekaligus. – 1 Mac, 2021.
Komen