Kenapa Parlimen tidak bersidang, soal Anwar kepada Muhyiddin


Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim persoal tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdiam diri berkenaan isu persidangan Parlimen ketika darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdiam diri berkenaan isu persidangan Parlimen ketika darurat.

“Kenapa tidak ada kenyataan daripada perdana menteri untuk hormat titah Agong?

“Selama ini mereka hebahkan kepada rakyat bahawa Agong perkenan dan jangan dipersoalkan,” kata Anwar di Facebook hari ini.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata sudah seminggu sejak Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat. 

Anwar berkata tindakan berdiam diri Muhyiddin hanya membuktikan kerajaan Perikatan Nasional masih kekurangan majoriti untuk memerintah negara ini. 

“Sehingga mereka perlu membeli lebih ramai ahli Parlimen,” kata presiden PKR itu.

Semalam dua ahli Parlimen PKR – Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) – keluar dari parti mereka dan berjanji akan menyokong Muhyiddin.

Ia berlaku selepas dua ahli Parlimen Umno mengumumkan bahawa mereka menarik sokongan terhadap presiden Bersatu bulan lalu, meninggalkan kerajaan dengan hanya 110 ahli Parlimen di 222 ahli Dewan Rakyat. 

Anwar mendakwa Perikatan menggunakan taktik tersembunyi untuk membeli ahli Parlimen “dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan sokongan sebelum Parlimen bersidang semula”.

Darurat di seluruh negara diisytiharkan  pada 12 Januari dan ia termasuk penangguhan persidangan Parlimen sehingga Ogos tahun ini. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen