Kerajaan akan kaji sistem kesihatan negara, kata Muhyiddin


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melakukan kajian komprehensif mengenai sistem penjagaan kesihatan negara dalam usaha untuk lebih siap sedia berdepan wabak dan krisis kesihatan di masa depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

KERAJAAN akan melakukan kajian komprehensif mengenai sistem penjagaan kesihatan negara dalam usaha untuk lebih siap sedia berdepan wabak dan krisis kesihatan di masa depan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, Muhyiddin berkata bahawa kajian ini terbahagi kepada dua fasa merangkumi unjuran dan usaha yang perlu diambil bagi tempoh sehingga tahun 2030.

“Fasa pertama yang sedang dilaksanakan pada masa ini bertujuan meneliti secara objektf serta menetapkan langkah utama yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem sedia ada.

“Antara lain, fasa pertama bermatlamat menilai sistem kesihatan negara secara terbuka dan objektif.

“Fasa kedua pula akan menghasilkan pelan tindakan yang memperincikan segala langkah yang perlu diambil bagi mencapai objektif mewujudkan sistem kesihatan yang mampan dan bersedia menghadapi tekanan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata bahawa belia dapat memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan.

Beliau menambah bahawa pemimpin belia harus mengambil inisiatif untuk memupuk semangat perpaduan antara rakyat.

“Layanan yang adil dan saksama untuk semua rakyat akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif penyatupaduan.

“Dalam aspek ekonomi, ia berpaksikan agihan kemakmuran negara yang dikongsi bersama secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat merentasi batas kaum, agama dan wilayah.

“Manakala dalam aspek sosial pula ia dipacu oleh semangat muhibah yang berkekalan.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas meyakinkan parti Umno, PAS dan Sarawak untuk membentuk kerajaan pada Mac lalu.

Beliau membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan, memimpin gabungan itu jatuh setelah 22 bulan berkuasa.

Hubungan antara Bersatu dan Umno bertambah buruk dengan terbaru dua ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun beliau mendapat dua sokongan baharu ketika ahli Parlimen PKR Larry Sng dan ahli Parlimen Tebrau Steven Choong meninggalkan parti mereka semalam. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen