Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kesal kerana Perdana Menteri Najib Razak mengheret bapanya Lim Kit Siang yang sedang sakit ke kancah politik dengan membangkitkan kenyataan lampau.
Lim berkata, Najib sepatutnya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd serta Felda dan bukannya mengungkit tuntutan yang dibuat bapanya 20 tahun lalu.
Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berkata, Kit Siang adalah sasaran mudah bagi Najib kerana bapanya itu masih lagi cuba pulih dari pembedahan membuang ketumbuhan pada buah pinggangnya
“Saya mahu menafikan kenyataan Najib bagi pihak bapa saya. Kenyataan itu tidak boleh dibiarkan. Saya terkejut beliau mengheret Kit Siang dalam isu ini.
“Kit Siang mencadangkan RCI pada tahun 90an. Mengapa Najib menggesa RCI untuk siasat skandal yang berlaku pada 90-an, dan tidak untuk isu yang berlaku sekarang seperti 1MDB dan Felda?
“Ini skandal yang lebih panas. Kit Siang juga menggesa RCI diadakan ke atas isu berkenaan. Mengapa perlu tunggu 20 tahun lagi untuk tubuhkan RCI?” katanya dalam sidang media di Pulau Pinang hari ini.
Beliau menjawab ucapan tahun baru Najib semalam bahawa kerajaan mengadakan RCI ke atas skandal forex Bank Negara Malaysia, yang berlaku pada 1990-an, atas gesaan ahli Kit Siang.
Siasatan ke atas kerugian dialami Bank Negara berjumlah RM31.5 bilion dalam perdagangan forex daripada 1992 hingga 1994 itu membabitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang kini pegerusi Pakatan Harapan.
Selain itu, ia turut melibatkan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, yang juga ketua umum PKR dan Pakatan Harapan.
Individu ketika yang terlibat adalah bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop, yang merupakan penasihat bank yang menyelia perkara-perkara termasuk rizab asing bank pusat dan peraturan pasaran kewangan dalaman.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau kecewa kerana siasatan RCI ke atas kerugian forex itu “dijadikan batu loncatan untuk kepentingan politik”, dan bukan untuk mencari kebenaran atau mengembalikan wang yang hilang.
Beliau turut menyifatkannya sebagai “mengarut, tidak beretika, dan tidak bermoral”, dan juga bermotif politik untuk menyerang saingan politik.
“Ia hanyalan mainan politik menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya.
Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, dalam Parlimen yang mengikut sistem Westminster, semua ahli kabinet bertanggungjawab ke atas skandal Bank Negara, termasuk Najib.
“Kesemua kabinet perlu memikul tanggungjawab bersama. Anda mungkin membantah, namun apabila ia diputuskan, anda juga bertanggungjawab, melainkan jika anda letak jawatan,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata, Kit Siang dalam keadaan baik dan doktor berpuas hati dengan perkembangannya setakat ini. – 1 Januari, 2018.
Komen