Kurang dana untuk khidmat masyarakat punca Larry Sng tinggalkan PKR 


Sng menjelaskan bahawa dirinya belum dapat membantu pengundi yang menderita akibat kemerosotan ekonomi susulan wabak Covid-19 selain ramai di kalangan mereka kehilangan kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

KEKURANGAN dana yang diperlukan untuk membantu orang ramai di Julau memaksa ahli Parlimen kawasan itu, Larry Sng meninggalkan PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas yang mesra kerajaan.

Menulis di Facebook, Sng menjelaskan bahawa dirinya belum dapat membantu pengundi yang menderita akibat kemerosotan ekonomi susulan wabak Covid-19 selain ramai di kalangan mereka kehilangan kerja.

“Kawasan saya, Julau, adalah kawasan termiskin di negara ini, rakyat menderita kerana kesan ekonomi daripada wabak tersebut, selain kehilangan pekerjaan dan pendapatan susulan harga komoditi yang rendah.

“Saya tidak dapat berkhidmat di Julau dengan berkesan kerana kekurangan dana pembangunan yang sangat diperlukan. Dengan langkah ini, saya yakin akan dapat tunaikan janji pilihan raya kepada pengundi saya.

“Saya memenangi pilihan raya 2018 sebagai calon bebas dan sekarang saya menyatakan diri saya ahli Parlimen bebas yang mesra kerajaan,” kata Sng.

Sng berkata bahawa beliau telah berunding dengan beberapa orang sebelum memutuskan untuk meninggalkan PKR.

“Terlalu banyak ketidakstabilan politik dalam tempoh satu tahun kebelakangan ini dan telah merosakkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Saya benar-benar percaya bahawa jalan terbaik untuk maju adalah mengetepikan politik buat masa ini, sehingga kita dapat membantu menstabilkan dan membangun kembali negara tercinta bersama,” tambahnya.

Awal hari Muhyiddin dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau berkata akuan bersumpah itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.

“Akaun bersumpah itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya,” katanya.

Beliau yang melahirkan rasa syukur berkata sokongan itu tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen