Ribuan protes skandal vaksinasi VIP Argentina


Mereka mula memvaksinasi kawan-kawan kerajaan dahulu. Itu tidak wajar. Mereka curi nyawa orang lain, kata penunjuk perasaan. – Gambar AFP, 28 Februari, 2021.

RIBUAN rakyat turun ke jalan raya di bandar-bandar di seluruh Argentina pada Sabtu untuk memprotes skandal “vaksinasi VIP” yang memaksa menteri kesihatan letak jawatan.

Gines Gonzalez Garcia mengundur diri seminggu lalu atas desakan presiden setelah didapati rakan-rakannya memotong giliran untuk inokulasi Covid-19.

Penunjuk perasaan yang membawa sepanduk bertuliskan “Beri saya vaksin saya” dan “Berhenti buang wang kami” berkumpul di luar ibu pejabat kerajaan di Plaza de Mayo di Buenos Aires.

“Mereka mula memvaksinasi kawan-kawan kerajaan dahulu. Itu tidak wajar. Mereka curi nyawa orang lain,” kata penunjuk perasaan Irene Marcet kepada AFP.

Sejak Argentina mula memvaksinasi rakyatnya, hanya pekerja kesihatan yang menerima suntikan setakat Rabu, apabila lebih 70 orang di wilayah Buenos Aires juga diundang untuk diberi imunisasi.

Pada Isnin, kerajaan mengeluarkan senarai 70 orang yang menerima vaksin di luar kempen rasmi, termasuk menteri ekonomi berusia 38 tahun dan bekas presiden Eduardo Duhalde, isteri dan anak-anak mereka.

Di pagar di depan Casa Rosada, tempat kerajaan dan pejabat presiden, para penunjuk perasaan menggantung beg mayat hitam palsu dengan nama-nama pemimpin pro-kerajaan yang diberi vaksin.

Presiden Alberto Fernandez mengecam tindakan mereka.

“Cara untuk berdemonstrasi dalam demokrasi bukanlah dengan menunjukkan beg jenazah dengan nama pemimpin politik di depan Casa Rosada,” katanya.

Demonstrasi itu berlaku tanpa insiden selain dari pertengkaran antara penunjuk perasaan dan aktivis kesatuan di hadapan kediaman rasmi presiden.

Penunjuk perasaan juga melakukan demonstrasi di bandar-bandar lain termasuk Cordoba, Rosario dan dan Mar del Plata.

Dengan populasi 44 juta, Argentina telah mencatat lebih dari dua juta jangkitan dan kira-kira 52,000 kematian akibat Covid-19.

Sejuta orang telah diinokulasi, menurut kerajaan itu.

Argentina telah menerima 1.22 juta dos vaksin Sputnik V Rusia, sekitar 580,000 dos dari Covishield, dari Institut Serum India, dan 904,000 dari Sinopharm China. – AFP, 28 Februari, 2021.

Para penunjuk perasaan menggantung beg mayat hitam palsu dengan nama-nama pemimpin pro-kerajaan yang diberi vaksin. – Gambar AFP, 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen