POLIS Denmark berkata bahawa pihaknya menahan lapan penunjuk perasaan dalam demonstrasi anti perintah berkurung di Copenhagen pada Sabtu malam.
Tunjuk perasaan yang dianjurkan sebuah kumpulan yang menamakan dirinya “Men in Black” mengumpulkan sekitar 1,200 orang di ibu negara Denmark merupakan tunjuk perasaan pertama sejak kerajaan mengumumkan usaha memperluas perintah kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19.
Polis berkata bahawa perhimpunan itu berlangsung dengan aman, namun lapan orang yang ditahan adalah mereka yang disyaki menggunakan bunga api dan cuba melakukan provokasi.
Pada awalnya, sekitar 600 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi itu, namun jumlah itu meningkat hingga 1,200 orang pada sebelah petang di Copenhagen, kata polis.
Denmark, yang berada di bawah perintah separa berkurung sejak akhir Disember, mengumumkan pada hari Rabu lalu bahawa ia akan meredakan beberapa sekatan susulan pandemik itu namun tetap meneruskan perintah tersebut di kebanyakan kawasan meskipun terdapat bantahan daripada pembangkang.
Walaupun orang ramai masih dapat meneruskan aktiviti jual beli di kedai dan mengambil bahagian dalam sukan berskala kecil selain kegiatan sosial mulai hari Isnin, masih banyak sekatan tetap dilanjutkan hingga 5 April, termasuk penutupan bar, restoran, dan kebanyakan institusi pendidikan menengah dan tinggi.
Jumlah jangkitan Covid-19 di Denmark dilihat menurun dengan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun kadar kes varian Covid-19 tetap menjadi fokus utama, kata pihak berkuasa lagi. – AFP, 28 Februari, 2021.
Komen