Brotherhood kecewa Selangor paling kaya, tapi jalan paling teruk


Nabihah Hamid

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Lando menegaskan mereka mengutamakan nyawa pengguna jalan raya dan bukannya parti politik yang memerintah. – Gambar Facebook, 1 Januari, 2018.

KELAB bermotor Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) menegaskan mereka tidak memilih bulu dalam mendedahkan kelemahan pihak berkuasa dan melakukan kerja amal memperbaiki kerosakan jalan.

Pengasasnya yang juga pelakon Lando berkata, sepanjang tempoh lebih sedekad operasinya setakat ini, Brotherhood mengutamakan nyawa pengguna jalan raya dan bukannya parti politik yang memerintah.

“Brotherhood tidak pilih bulu. Tekanan sama saja. Mereka nampak banyak serang Selangor sebab dah memang Selangor (bawah Pakatan) ini negeri yang kononnya paling kaya tapi jalan paling teruk.

“Lagipun saya duduk di Selangor, jadi memang nampak banyak aktiviti di Selangor. Kita balun semua tempat kerana kita perjuangkan nyawa dan harta benda saudara kita (rakyat umum). Tak perjuangkan parti politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Negeri Selangor juga mencatat jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya paling tinggi pada 2016, dengan 1,140 kes daripada jumlah 7,152 kes.

Kes kedua tertinggi dicatatkan di Johor dengan 1,135 kes dikuti Perak iaitu (789) serta Kedah (572).

Bukan alat parti politik

Lando, 43, mengakui yang bahang kempen pilihan raya pada tahun ini akan membangkitkan semangat sukarelawan Brotherhood untuk beramal.

Namun beliau menegaskan, NGO yang dianggotai sukarelawan di sembilan buah negeri di semenanjung itu tidak akan menjadi alat parti politik untuk kempen pilihan raya.

“Kita buat kerja tidak kisah PRU ke tidak. Siapa kata kita alat (politik) kena buktikanlah. Kalau kata Brotherhood pro pembangkang, kenapa kita sangat kuat dan aktif (turap lubang) di Johor? Itu kubu kuat Umno.

“Kami pernah kena tahan dengan polis di Melaka dan juga Selangor. (Selangor) bawah PKR kan?,” soalnya.

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi menjelaskan, jalan yang rosak akibat lubang atau lurang itu diturap semula mengunakan wang sendiri bagi mengurangkan risiko kemalangan pengguna.

Jelasnya, mereka tidak mempunyai dana khas untuk kos tar jalan tetapi usaha tersebut diteruskan bagi mengelakkan pengguna dari terus menjadi mangsa kecuaian pihak berkuasa.

Isu kerosakan jalan itu juga amat dekat di hatinya kerana menyebabkan kemalangan maut melibatkan rakan karibnya.

Aizat Sulaiman daripada Brotherhood Rawang yang mengambil inisiatif sendiri menurap jalan raya kerana kelewatan majlis daerah bertindak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018.

“Kejadian (itu melibatkan) sahabat rapat saya sendiri 10 tahun dulu, mati sebab elak lurang. Itu antara kisah pahit yang beri saya kekuatan untuk teruskan kerja amal,” katanya.

Tambahnya, kerosakan di laluan pengguna seperti itu turut berpunca daripada kerja-kerja kontraktor.

“Lubang jalan daripada kerja kontraktor dan syarikat utiliti menyumbang kepada faktor kemalangan.

“Kenapa pengguna perlu jadi mangsa kerana kecuaian PBT (pihak berkuasa tempatan) tak turap jalan,” kata pelakon yang popular melalui drama Roda-Roda Kuala Lumpur ini.

Lando dalam pada itu berkata Brotherhood akan mempertingkatkan aktiviti amalnya dengan mengecat jalan terutamanya di lebuh raya.

“Selama ini Brotherhood mementingkan lurang, lubang dan penanda pemisah jalan tapi 2018 kita akan mula fokus kepada cat jalan untuk buat garisan.

“Kita akan beri penekanan tentang ketahanan cat pemantul cahaya. Jika ikut undang-undang peraturan kontraktor sepatutnya ada jaminan. Bukan hari ini cat, seminggu sebulan dah hilang,” katanya.

Tambah Lando, pihaknya sedang mengkaji jenis cat yang digunakan negara luar yang berkesan dan tahan selain memantulkan cahaya sekiranya jalan raya tersebut tidak dilengkapi lampu jalan.

“Kita dalam proses kaji dan kenal pasti mana jalan yang catnya sudah hilang. Sekarang kita hendak ketengahkan isu cat yang memberikan pantulan.

“Kita beri contoh luar negara seperti Australia, mereka ada yang jalan raya mereka tiada lampu jalan tetapi cat mereka memantulkan cahaya. Jadi, lebih selamat dan tahan lama. Mereka menggunakan pelekat reflektif di kiri kanan jalan.

“Malaysia ini lampu jalan banyak tapi tidak berfungsi,” katanya yang akan bergiat lebih aktif pada tahun ini.

Tidak pernah putus asa

Bagi Lando, kegiatan itu akan diteruskan walau beliau menerima kecaman dan ugutan bunuh. Semangat dan sokongan yang dizahirkan masyarakat sentiasa menjadi pemangkin buat dirinya.

“Sokongan unit-unit Brotherhood semakin membesar dan satu semangat, walaupun pernah kena tangkap, maki hamun dan ugutan bunuh.

“Ramai masyarakat jadi pendorong untuk saya terus memperjuang sesuatu yang baik bukan untuk saya tapi untuk semua. Sokongan dizahirkan di Facebook, mereka sokong beli pelekat dan T-shirt Brotherhood,” katanya lagi.

Facebook rasmi Lando Zawawi Vrus menerima sokongan lebih 300,000 pengguna. Majoriti pelawat di laman tersebut mengadu masalah kerosakan jalan raya di seluruh negara.

Selain itu, beliau turut menggunakan platform tersebut untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kemalangan jalan raya dan menasihati agar pengguna lebih berhati-hati. – 1 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen