Parti politik giat dekati pengundi menjelang PRN Sarawak


Desmond Davidson

Sarawak masih belum menetapkan tarikh pilihan raya negeri untuk rakyat memilih sama ada pentadbiran daripada gabungan politik baharu atau mengembalikan yang lama dengan mandat baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

WALAU berdepan ketidaktentuan Covid-19, yang pasti, Sarawak akan menyaksikan tempoh mandat kerajaan negerinya akan berakhir pada bulan Jun 2021.

Namun hal yang tidak pasti di Sarawak adalah berkenaan penetapan tarikh pilihan raya negeri untuk rakyat negeri itu memilih sama ada pentadbiran daripada gabungan politik baharu atau mengembalikan yang lama dengan mandat baharu.

Apa yang tidak pasti itu menjadikan parti-parti politik kini rancak membuat perancangan pilihan raya bagi melicinkan gerak kerja, jika tidak, sudah pasti kerja-kerja pilihan raya akan dilihat berantakan.

“Secara rasmi, kami telah menasihatkan (anggota parti kami) menghentikan perhimpunan besar-besaran, dan untuk mematuhi SOP Covid-19,” kata Desmond Kho, ketua penerangan Parti Bersatu Sarawak (PBS) kepada The Malaysian Insight.

Ini adalah satu sikap yang umumnya diambil oleh semua parti politik kerana mereka tidak mahu dilihat sebagai pelanggar SOP PKP dengan mengingkari protokol kesihatan dan keselamatan yang ada dalam usaha membendung penularan jangkitan yang telah menjangkiti lebih dari 8,000 orang dan meragut nyawa 76 orang penduduk di negeri ini setakat Jumaat lalu.

Namun di belakang tabir norma baharu, parti itu - yang kini menjadi wadah bagi mereka yang dipecat dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan diketuai bekas menteri kewangan kedua Sarawak, Wong Soon Koh - telah berusaha untuk terus berhubung dengan pengundi.

“Cawangan kami masih memenuhi permintaan dan aduan masyarakat yang meminta bantuan, seperti bantuan makanan (dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat Sibu) dan keperluan lain pada skala yang lebih kecil,” kata Kho.

Beliau mendefinisikan “skala yang lebih kecil” sebagai interaksi secara terus dengan seorang demi seorang pengundi.

Kho berkata Adun Batu Lintang daripada parti itu, See Chee How menjaga kawasannya dengan melakukan kerja sosial seperti membantu hospital Sarawak di Kuching dan merekrut penduduk bagi mendapatkan vaksin Covid-19 ketika fasa ujian klinikal.

Memperlihatkan profil barunya sebagai Adun PSB adalah kunci untuk survival politik See apabila beliau memenangi kerusi majoriti Cina itu selama dua penggal dengan tiket PKR sebelum ini.

Beliau adalah bekas naib ketua PKR Sarawak sehingga dipecat pada Februari tahun lalu kerana menyokong timbalan presiden ketika itu, Mohd Azmin Ali menentang Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pergelutan dalaman parti tersebut.

Hampir kesemua pemimpin kanan PKR Sarawak, termasuk bekas pengerusi Baru Bian menyertai PSB, yang disebut-sebut sebagai parti pembangkang terkuat dan mampu merampas satu atau dua kerusi daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), salah satu parti yang lebih kecil, turut menggunakan taktik yang sama di samping tetap mematuhi SOP Covid-19.

“Kami tidak membekukan pergerakan kami, kami hanya kurangkan,” jelas presidennya, Lina Soo.

“Daripada calon-calon yang bergerak bersama, mungkin enam dari kami bergerak di sekitar Kuching, masing-masing buat kerja senyap-senyap di sekitar kawasan sasaran,” kata Soo, yang turut mengesahkan bakal bertanding di kerusi bandar yang majoritinya didiami penduduk yang berketurunan Cina iaitu Padungan. – 28 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen