8 kluster baharu dicatat, 16 kluster ditamatkan


Enam daripada kelompok tempat kerja yang dilaporkan hari ini mempunyai kaitan dengan kawasan kilang sementara satu kluster dikesan di pejabat pentadbiran awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2021.

LAPAN kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini sementara 16 kluster tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan kluster aktif ketika ini adalah 485 kluster.

16 kluster yang tidak lagi aktif termasuk Majalah Symphony, Hujung Pasir, Serkam Tengah, Rungkup, Jalan Skudai, Orion, Bayu Tampoi, Permint Harmoni, Tengah Tiga, Jalan Ketengah, tapak pembinaan Persiaran Tecoma, Jalan Trompet , Jalan Sempadan, tapak pembinaan Era Duta, Jalan Riang, dan Bukit Batu Grisek.

Semua kluster baharu yang dicatatkan hari ini dikaitkan dengan tempat kerja kecuali satu kluster.

Kluster Buloh di Selangau, Sarawak adalah satu-satunya kluster bukan tempat kerja yang dilaporkan hari ini.

Kluster Buloh diklasifikasikan sebagai kluster penularan komuniti dan dikesan melalui satu kes indeks bergejala. Kluster tersebut melaporkan 28 kes positif Covid-19.

Enam daripada kelompok tempat kerja yang dilaporkan hari ini mempunyai kaitan dengan kawasan kilang sementara satu kluster dikesan di pejabat pentadbiran awam.

Johor melaporkan lima kluster termasuk Jalan Scientex Jaya (13 kes), Jalan Mega Teknologi (14), Jalan Permas Sembilan (20), Jalan Gemilang Satu (15) dan Jalan Tampoi Besi (40).

Sementara itu, Kluster Jalan Tasek Avenue yang dikaitkan dengan sebuah kilang di Ipoh, Perak menyaksikan jumlah kes paling banyak dengan mencatat 211 kes.

Kluster Kg Pulau Raja yang dikesan di pejabat pentadbiran awam di Kota Bharu, Kelantan pula mencatat 60 kes. – 27 Februari 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen