WALAU berdepan krisis pandemik Covid-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengakhiri tahun 2020 dengan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM60.98 bilion, angka paling tinggi pernah dicatat dalam sejarah KWSP.
Daripada jumlah pendapatan tersebut, RM6.15 bilion dimasukkan ke dalam simpanan Shariah.
Aset keseluruhan dana persaraan itu juga meningkat sebanyak 7.9% bernilai RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion akhir tahun lalu.
KWSP mengaitkan prestasi terbaiknya itu dengan pendekatan berhemah selepas mendapat panduan keputusan daripada Pengagihan Aset Strategik (SAA), yang membantu badan itu untuk kekal bertahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata dalam sidang media hari ini bahawa KWSP menyaksikan pulangan yang baik di semua kelas asetnya.
Sebelum ini, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.20% bagi simpanan konvensional dan 4.90% bagi simpanan Shariah sepanjang tahun lalu.
“Kita buat sejarah sekali lagi, KWSP catat pelaburan kasar sebanyak RM60.98bilion yang merupakan peningkatan sepanjang tiga tahun pelaburan,” kata Tunku Alizakri.
Pulangan pelaburan untuk tahun 2020 adalah sebanyak 6.13%.
Sebelum tahun 2020, KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar yang tinggi pada tahun 2017, apabila ia mencatat RM53.14 bilion.
Hingga akhir tahun lalu, aset pelaburan luar negara KWSP merangkumi 33% daripada portfolionya.
Ekuiti, terutamanya ekuiti asing, terus menjadi pemacu pulangan dengan jumlah pendapatan sebanyak RM28.71 bilion.
Portfolio ekuiti swasta juga menunjukkan prestasi kukuh dengan pengagihan pendapatan yang konsisten.
Pemulihan pada separuh kedua tahun ini meningkatkan pasaran global dan domestik selain memberikan sumbangan besar kepada portfolio pelaburan KWSP.
Ia dilihat berjaya membuka jalan untuk peluang keuntungan, terutama pada suku keempat tahun 2020.
KWSP juga mengambil langkah berhemah apabila menurunkan RM7.71 bilion portfolio ekuitinya yang tersenarai, ia bagi memastikan portfolio pelaburan jangka panjangnya tetap utuh.
Tunku Alizakri berkata, pulangan dalam kelas aset adalah lebih rendah kerana pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar yang memerlukan kecairan dana tersebut walaupun dalam jangka masa yang singkat.
Pengeluaran wang simpanan persaraan daripada i-Lestari oleh 5.16 juta pencarum berjumlah RM18.1 bilion.
Langkah-langkah lain yang dilaksanakan KWSP adalah termasuk membenarkan pencarum menurunkan caruman wajib mereka untuk simpanan KWSP kepada 7% dari 11%, bermula April 2020 hingga Disember 2020.
Pengerusi KWSP Ahmad Badri berkata, pandemik Covid-19 memerlukan penyelesaian segera sementara pihaknya akan terus berusaha memastikan pencarum mendapat manfaat dari kumpulan dana persaraan itu.
“KWSP merupakan institusi caruman wang simpanan yang kini mencecah usia 70 tahun. Ia merupakan salah satu dana persaraan tertua di dunia, akan terus menumpukan perhatian untuk membantu pencarum mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan.
“Ketika kita berusaha untuk melindungi dan meningkatkan simpanan persaraan pencarum dalam persekitaran yang tidak stabil dan tidak menentu, penekanan kita terhadap pelaburan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) akan berfungsi sebagai penyokong dan alat pengurangan risiko yang berkesan, ia juga menjadi pemacu nilai dalam pelaburan kami yang akan mewujudkan kesan sosial yang dapat bertahan melebihi pulangan kewangan,” jelasnya. – 27 Februari, 2021.
Komen