KWSP umum dividen 5.20% 


Ragananthini Vethasalam

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengisytiharkan dividen 5.20% bagi simpanan konvensional dan 4.90% bagi simpanan Syariah untuk 2020, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah pembayaran dividen dana persaraan bagi 2020 berjumlah RM47.64 bilion.

Daripada jumlah tersebut, RM42.88 bilion adalah untuk simpanan konvensional sementara pembayaran dividen Simpanan Syariah berjumlah RM4.76bilion.

Bagi 2019, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% bagi simpanan konvensional dan 5% simpanan Syariah.

KWSP berkata ia memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap dividen 1% bagi simpanan konvensional dan RM972 juta untuk setiap dividen 1% simpanan Syariah.

Purata dividen sebenar lima tahun dana bagi simpanan konvensional selepas penyelarasan dengan inflasi adalah 4.62% dan 4.32% untuk simpanan Syariah, melebihi sasaran lima tahun dana sebanyak 2.00%.

Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir dalam satu kenyataan berkata penularan cepat Covid-19 dan penyebarannya menjadikan keadaan tidak menentu yang sukar ditangani.

“Kami berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, sambil memenuhi keperluan mendesak mereka untuk menangani cabaran semasa. Ia tidak mudah ada ketikanya kerana kita terpaksa berdepan situasi sukar bagi memastikan ahli bertahan pada saat sukar sambil menyeimbangkan keperluan masa depan mereka,” katanya.

 “Kami fokus pada digitalisasi membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar sambil memastikan kami tetap relevan dengan ahli yang lebih mahir teknologi,” tambahnya.

Aset pelaburan KWSP secara keseluruhan meningkat 7.9% kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada akhir 2020.

Walaupun sumbangan bersihnya rendah pada tahun lalu, dana tersebut dapat memperoleh pulangan berterusan daripada pelaburannya kerana kemampuan menyesuaikan diri dengan situasi semasa.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar paling tinggi sebanyak RM60.98 bilion, dengan RM6.15 bilion diperuntukkan kepada simpanan Shariah.

Prestasi memberangsangkan adalah berdasarkan pendekatan berhemah yang dipacu oleh Peruntukan Aset Strategik (SAA) keseluruhan dana, yang menjadikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis tidak dijangka.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata dalam taklimat media hari ini, dana itu menyaksikan pulangan baik dalam semua kelas aset.

Dari segi kelas aset, instrumen pendapatan tetap membentuk sebahagian besar pelaburan pada 46%, diikuti ekuiti sebanyak 42%.

Sementara itu, hartanah dan infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang merangkumi 5% dan 7%.

Setakat akhir tahun lalu, aset pelaburan luar negara KWSP merangkumi 33% daripada portfolio.

Bilangan keahliannya turut meningkat sebanyak 2% kepada 14.89 juta pada akhir tahun lalu. Terdapat 534,398 majikan berdaftar dengan KWSP. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen