SEORANG bekas jeneral melahirkan kebimbangannya dengan tindakan rakyat negara ini yang “sudah pandai” menggunakan bahasa kesat sehingga boleh menyebabkan keharmonian antara etnik terjejas.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig. Jen. (Bersara) Mohd Arshad Raji berkata, perkara ini berlaku disebabkan orang ramai mencontohi “kata-kata kesat, kurang sopan dan biasap” yang dikeluarkan pemimpin tertinggi negara.
“Dewasa ini seringkali terdengar orang biasa menggunakan kata-kata tidak bersopan yang boleh timbulkan kesan negatif antara etnik di negara kita.
“Contohnya seperti ‘Cina babi’, ‘kaki botol’ dan ‘keling’. Kelakuan seperti ini menonjolkan masyarakat kita tidak hidup dalam suasana harmoni, bahkan terbenam di minda masing-masing perasan benci dengki,” kata Arshad kepada The Malaysian Insight hari ini.
Menurut Arshad, sebelum ini beliau belum pernah mendengar mana-mana pemimpin negara, bermula daripada perdana menteri pertama hingga kelima mengeluarkan “kata-kata kesat, kurang sopan dan biadap” di khalayak ramai.
“Sebagai contoh, ungkapan seperti ‘kepala bapak kamu’ telah diungkap oleh seorang pemimpin negara pada satu majlis parti politik, dan disambut sorakan gembira daripada para hadirin, seolah-olah merestui ungkapan kurang sopan dan biadap tersebut.
“Terdahulu daripada itu, pemimpin negara yang sama pernah mengungkap kata-kata yang boleh dianggap kurang sopan dan biadap di hadapan khalayak ramai, seperti perkataan ‘haram jadah’, ‘bangsat’ dan ‘stupid’ (bodoh),” katanya.
Semasa memberikan ucapan pada perhimpunan agung MCA di Kuala Lumpur November lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengeluarkan ungkapan “kepala bapak kau” semasa menjawab kritikan daripada Pakatan Harapan (PH).
Dalam ucapannya itu, Najib mengulas hasrat PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengkaji semula semua perjanjian projek antara Malaysia dan China, sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan.
“Apa? Kepala bapak kau! Tak logik,” katanya dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan yang memenuhi dewan persidangan di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.
Arshad mempersoalkan, tidakkah pemimpin tersebut mempunyai perasaan segan dan malu mengeluarkan kata-kata sedemikian di hadapan orang ramai.
“Bukankah perbuatan itu hanya merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin, dan memiliki keperibadian yang rendah nilai dan bahasanya?
“Ini adalah beberapa soalan yang bermain pada pemikiran rakyat, apabila seseorang yang bergelar pemimpin negara merasakan bahawa kuasa yang ada pada dirinya itu melayakkan dia mengeluarkan apa saja bahasa yang difikirkan sedap pada hati dan mulutnya,” katanya.
Arshad turut menasihatkan agar pemimpin negara menghalusi bahasa yang akan diungkapkan, terutama di majlis-majlis dan sebagainya.
“Setinggi mana kuasa yang ada pada seseorang itu, apabila ianya tidak pandai menjaga mulut, maka kuasa yang ada padanya itu tidak memberikan apa-apa erti.
“Ingatlah bahawa bahasa yang keluar daripada mulut seseorang itu mencerminkan ketinggian akhlak, peradaban dan keperibadian dirinya.
“Marilah kita para pemimpin negara dan pertubuhan, serta rakyat Malaysia, yang berhasrat untuk membina semula negara kita, melangkah dengan revolusi mental ke arah tahun 2018,” katanya. – 1 Januari, 2018.
Komen