PM dan KP Kesihatan sihat selepas 48 jam terima vaksin Covid-19


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berada dalam keadaan sihat selepas 48 jam menerima suntikan vaksin Covid-19 Rabu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Februari, 2021.

HAMPIR 48 jam selepas menerima vaksin Covid-19, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan baik, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan yang juga mengambil suntikan pada Rabu lalu berkata beliau juga berasa sihat.

“Hampir 48 jam kemudian, saya tidak menghadapi masalah (disebabkan oleh vaksin).

“Saya diberitahu bahawa perdana menteri juga tidak mengalami sebarang gejala selepas disuntik.

“Ini pengalaman yang dapat saya kongsi dengan semua orang dan saya harap ramai lagi akan merasa seperti saya, di mana mereka tidak mempunyai gejala,” kata Noor Hisham dalam sesi Zoom hari ini bersama media.

Muhyiddin dan Dr Noor Hisham menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Presint 11 di Putrajaya pada 24 Februari lalu.

Mereka adalah individu pertama di negara ini yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech ketika kerajaan memulakan rancangan imunisasi nasional tiga fasa hari ini bagi memberi suntikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk. 

Bercakap mengenai kesan sampingan dari vaksin, Noor Hisham berkata hanya empat dalam setiap sejuta mengalaminya.

Walaupun terdapat beberapa dakwaan mengenai kesan sampingan, beliau berkata beliau masih belum pernah mendengar keluhan dari mereka yang telah divaksinasi.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata mereka tidak ambil risiko selain kementerian telah menyediakan ruang khas untuk mereka yang mengalami reaksi segera terhadap vaksin tersebut.

“Pesakit akan dipantau selama sekitar 15 hingga 30 minit, jadi jika ada masalah, kami dapat atasinya dengan segera,” katanya.

Mengulas pengalamannya, Dr Noor Hisham berkata hanya 0.3 ml cecair digunakan untuk vaksinasi.

Menjelaskan warna jarum yang berbeza yang digunakan semasa proses tersebut, Noor Hisham berkata jarum berlubang besar untuk ambil vaksin dari botol dan jarum yang lebih kecil untuk memberikan suntikan.

“Yang biru diperlukan untuk ambil vaksin dari botol berukuran 23G tetapi jarum yang disuntik ke lengan berukuran 25G, lebih halus.

“Saya diberitahu terdapat keradangan dan sakit di bahagian yang disuntik tetapi kerana jarum yang digunakan sangat halus, jadi saya tidak rasa sakit, atau demam, sebarang kesan sampingan,” katanya. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen