MySejahtera satu-satunya aplikasi untuk daftar program vaksin, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata hanya aplikasi MySejahtera yang diberi kebenaran oleh kerajaan untuk mendaftar dalam program vaksinasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

MYSEJAHTERA satu-satunya aplikasi rasmi di mana orang ramai boleh mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata hanya aplikasi MySejahtera yang diberi kebenaran oleh kerajaan untuk mendaftar dalam program vaksinasi.

“Saya tak mahu hampakan orang lain tetapi aplikasi rasmi kerajaan adalah MySejahtera.

“Inilah sebabnya mengapa kita semua harus mendaftar di MySejahtera,” kata Noor Hisham dalam sesi dialog Zoom malam ini.

Noor Hisham berkata demikian setelah ditanya adakah aplikasi lain selain MySejahtera boleh digunakan untuk mendaftar dalam program vaksinasi.

Baru-baru ini, kerajaan Selangor melalui aplikasi pengesanan kontak, SELangkah berkata pendaftaran untuk vaksinasi dapat dilakukan di platform itu.

Salah satu ciri baharu SELangkah adalah “RSVP - Daftar untuk Pakej Vaksin anda”.

Ciri baharu ini khas buat pengguna dengan aplikasi untuk mendaftar vaksinasi Covid-19 mereka. Ianya disediakan oleh Kerajaan Selangor.

Lebih dari satu juta orang telah mendaftar untuk program vaksinasi sejak pendaftaran dibuat di MySejahtera.

Jumlah keseluruhan pada jam 4 petang adalah 1,065,423.

Noor Hisham berkata, beliau mengharapkan lebih ramai orang tampil dan mendaftar ke program itu.

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit di Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Mahesh Appannan berkata aplikasi itu akan dikemas kini segera yang mana akan membolehkan isi rumah terutama berumur 16 tahun ke atas, tanpa telefon pintar, dapat didaftarkan untuk program vaksinasi oleh ahli keluarga. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen