Najib gesa kerajaan kaji denda RM10,000 untuk pesalah PKP


Ravin Palanisamy

Seorang pelajar memakai topeng muka menunggang motosikal di Petaling Jaya, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Februari, 2021.

NAJIB Razak menyeru kerajaan bertimbang rasa ketika mendenda pesalah Perintah Kawalan Pergerakan kerana semua kesalahan tidak dikenakan hukuman yang sama. 

Dalam catatan di Facebook hari ini, bekas perdana menteri itu mendesak Putrajaya mengkaji semula denda RM10,000 bagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP di bawah peraturan darurat.

Walaupun beliau menyokong idea hukuman dan denda yang lebih ketat, Najib berkata bahawa hukuman itu harus menjadi pengajaran bagi orang ramai untuk mengetahui kesalahan mereka dan tidak membuat mereka muflis.

“Misalnya tidak pakai/salah pakai mask, lupa scan MySejahtera, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel/rumah sewa.

“Bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif - bukan untuk memufliskan rakyat,” tulisnya di Facebook. 

Ahli Parlimen Pekan sebaliknya menyarankan agar kesalahan yang kurang serius yang dilakukan oleh orang ramai, mereka harus dikenakan denda yang dinaikkan secara bertahap bermula dengan RM1,000 dan dinaikkan menjadi maksimum RM10,000 untuk kesalahan keempat dan seterusnya.

“Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

“Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati,” katanya sambil menambah bahawa jumlah denda baharu di negara ini adalah salah satu yang tertinggi di dunia.

Semalan diumumkan bahawa denda sehingga RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat akan dikenakan bagi mereka yang melanggar peraturan PKP di bawah peraturan darurat.

Odinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diterbitkan di laman web Warta Kerajaan hari ini berkuat kuasa pada 11 Mac.

Jumlah kompaun semasa bagi sesiapa yang melanggar PKP adalah RM1,000.

Najib berkata SOP patut konsisten dan tidak boleh sering diubah-ubah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan rakyat.

Beliau berkata orang ramai akan menjadi lebih marah jika adanya dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

“Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik,” katanya. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen