Rakyat Malaysia antara 10 kes baharu Covid-19 Singapura


Jumlah kes Covid-19 di Singapura kini 59,900. – Gambar EPA, 26 Februari, 2021.

SEORANG lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun adalah antara dua kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Dilabelkan sebagai Kes 60448, pemegang permit kerja itu merupakan pekerja PSA Corporation Ltd, menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi.

“Keputusan ujian serologi beliau kembali positif tetapi kami membuat penilaian bahawa ini mungkin jangkitan semasa,” menurut kementerian itu yang menambah lelaki berkenaan adalah asimptomatik.

Kementerian memaklumkan, lelaki itu yang tiba dari Malaysia pada 23 Disember tahun lepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 22 Januari dan dos kedua pada 14 Februari.

“Ini menjelaskan tentang keputusan ujian serologinya yang positif kerana beliau berkemungkinan mula menghasilkan antibodi selepas vaksinasi,” menurut kementerian itu.

Biasanya, ia mengambil beberapa minggu untuk seorang individu membina imuniti selepas selesai vaksinasi, oleh itu, lelaki berkenaan mungkin dijangkiti sebelum mendapat perlindungan selepas divaksin, menurut kementerian itu.

Sehingga tengah hari semalam, Singapura melaporkan 10 kes baharu termasuk lapan kes import, menjadikan jumlah jangkitan kepada 59,900 kes. – Bernama, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen