Vaksin Pfizer boleh disimpan dalam suhu sejuk beku biasa, kata FDA


FDA memberi kelonggaran vaksin Covid-19 Pfizer boleh disimpan pada suhu normal seperti penyejuk beku farmaseutikal biasa untuk tempoh sehingga dua minggu. – Gambar EPA, 26 Februari, 2021.

VAKSIN Covid-19 Pfizer boleh disimpan pada suhu normal seperti penyejuk beku farmaseutikal biasa untuk tempoh sehingga dua minggu, kata Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat semalam.

FDA memberi kelonggaran kepada syarat sebelum ini, iaitu vaksin Pfizer mesti disimpan dalam peti sejuk beku pada suhu ultra-rendah antara -80 darjah Celsius dan -60 darjah Celsius.

“Suhu alternatif untuk pengangkutan dan simpanan vaksin akan membantu mengurangkan beban bagi mendapatkan kelengkapan simpanan suhu ultra-rendah dan supaya vaksin dapat dihantar ke lebih banyak tempat,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penilaian Biologi FDA Peter Marks.

FDA juga berkata ia akan mengemas kini lampiran fakta kepada penyelia perubatan dengan sewajarnya.

Peti sejuk farmaseutikal kebiasaannya beroperasi pada suhu sekitar -20 darjah Celcius.

FDA mengeluarkan kelonggaran selepas Pfizer membuat permohonan berdasarkan penyelidikan firma itu terhadap kestabilan vaksinnya di bawah suhu lebih panas.

Vaksin Pfizer menggunakan teknologi baharu mRNA sintetik (asid ribonukleik pengutus) yang menghantar arahan genetik kepada sel manusia untuk membina sebahagian daripada koronavirus.

Molekul mRNA berada dalam partikel lemak yang melindunginya, namun mudah terurai lebih cepat berbanding vaksin biasa dan perlu disimpan pada suhu amat rendah.

Sebaik sahaja dinyah beku, vaksin Pfizer boleh disimpan dalam peti ais dengan suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius sehingga lima hari.

Ia juga boleh disimpan pada suhu bilik untuk tempoh tidak lebih dua jam. – AFP, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen