PANDEMIK Covid-19 sehingga kini telah meragut lebih 2.5 juta nyawa di seluruh dunia sejak Disember 2019, menurut data rasmi yang diperolehi AFP semalam.
Jumlah keseluruhan angka korban kini 2,500,172 orang, manakala 112,618,488 kes telah dilaporkan.
Eropah masih mendahului dengan 842,894 kematian, diikuti Amerika Latin dan Caribbean (667,972) kemudian Amerika Syarikat (AS) dan Kanada (528,039).
Hampir separuh daripada jumlah kematian akibat Covid-19 dilaporkan di lima negara iaitu AS (6,232), Brazil (249,957), Mexico (182,815), India (156,705) dan United Kingdom (122,070).
Angka kematian seluruh dunia melepasi 1 juta pada 28 September tahun lalu. Jumlah itu mencecah 2 juta empat bulan kemudian, iaitu 15 Januari tahun ini.
Bagaimanapun, kadar kematian menurun sedikit sejak akhir Januari, dengan 66,800 direkodkan pada minggu lalu bersamaan purata 9,500 sehari, berbanding 101,400 kes atau purata 14,500 sehari antara 20 hingga 26 Januari.
Sejak seminggu lalu, lebih satu pertiga jumlah kematian global dilaporkan di 52 negara dan wilayah di Eropah, tetapi turun sebanyak 14% berbanding minggu sebelumnya. – AFP, 26 Februari, 2021.
Komen