8 kluster baharu Covid-19, jumlah keseluruhan 1,111 kluster


Ravin Palanisamy

Sebanyak lapan kluster baharu dikesan hari ini dengan lima daripadanya dikaitkan dengan kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster berisiko tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2021. 

SEBANYAK lapan kluster baharu Covid-19 dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan  dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata lima daripadanya dikaitkan dengan kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster berisiko tinggi.

Menurutnya tiga kluster dikesan di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sebanyak 151 kes dilaporkan di antara kluster ini di mana 102 daripadanya berasal dari kluster tempat kerja.

Noor Hisham berkata kluster SS Lapan yang dikesan di sebuah kilang di Selangor melaporkan jumlah kes terbanyak di antara kluster lain hari ini dengan 36 kes.

Beliau berkata kluster lain di Selangor adalah Industri 19 (34 kes) dan Industri Jalan Empat (12 kes), kedua-duanya melibatkan kilang.

Di Kuala Lumpur, kluster Jalan Putra Silang yang melibatkan syarikat perkhidmatan melaporkan lapan kes sementara kluster tempat kerja terakhir, kluster tapak pembinaan Indera Mahkota melaporkan 10 kes.

Dari dua kluster komuniti, Noor Hisham berkata satu dilaporkan di Sarawak sementara yang lain di Perak.

Kluster Jalan Ho Pin di Samarahan, Sarawak yang disebabkan oleh perhimpunan sosial melaporkan 14 kes, sementara kluster Kampung Mak Teh di Batang Padang, Perak disebabkan oleh jangkitan tempatan melaporkan 16 kes.

Kluster terakhir dilaporkan hari ini ialah Lorong Murni, kluster berisiko tinggi yang dikesan di Pulau Pinang.

Sehingga hari ini sebanyak 21 kes Covid-19 dilaporkan di situ.

Lapan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini sebanyak 1,111 dengan 499 masih aktif.

Dari kluster aktif tersebut, 93 melaporkan kes baharu.

Noor Hisham berkata kluster yang melaporkan kes tertinggi hari ini adalah Pelepas Perindustrian dengan 55 kes, Tanjung Suria (47 kes) dan Tembok Tapah (41 kes).

Sebanyak 18 kluster berakhir hari ini menjadikan jumlah kluster sebanyak 612. – 25 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen